Bangunan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menafikan dakwaan kes keganasan rumah tangga meningkat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

KPWKM berkata, peningkatan 57 peratus jumlah panggilan berkaitan bukan ukurannya kerana ia merangkumi semua kategori, termasuk panggilan berhubung wabak Covid-19, rujukan kes bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes kaunseling dan sebagainya.

“KPWKM memandang serius terhadap semua panggilan yang diterima, termasuk isu keganasan rumah tangga dan penderaan, terutama ketika tempoh PKP ini.

“Tindakan segera terus diambil oleh pihak JKM mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 pindaan 2017 dan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru KPWKM memohon kerjasama semua pihak supaya tidak menyalahtafsirkan data panggilan kes keganasan rumah tangga dan penderaaan kanak-kanak panggilan Talian Kasih sepanjang PKP yang disiarkan di portal KPWKM.

Orang ramai dipohon merujuk sumber sahih serta penjelasan kementerian sebelum membuat sebarang kenyataan di mana-mana saluran komunikasi.

Semalam, sebuah portal media tempatan melaporkan kes keganasan rumah tangga di kebanyakan negara meningkat dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Laporan itu turut memetik data panggilan Talian Kasih bertambah sebanyak 57 peratus sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lepas.- MalaysiaGazette