Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun mencabar amaran polis ketika diarah beredar membawa padah apabila dia dicekup dalam tangkapan sekitar 2 pagi Sabtu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia antara 6 individu yang ditangkap polis daerah Petaling Jaya di bawah Peraturan 11 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang dilakukan semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee berkata, sekitar jam 2.50 petang semalam, polis daerah Petaling Jaya berjaya menahan seorang lelaki berusia 46 tahun di sekitar Jalan Raya Tol PJS 2 atas kesalahan tidak memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya.

Katanya, angkapan kedua sekitar 6 petang membabitkan seorang lelaki Bangladesh berusia 22 tahun di Jalan Persiaran Surian Damansara juga melakukan kesalahan yang sama.

“Dalam tangkapan ketiga sekitar 11.15 malam, dua lelaki berusia antara 21 dan 25 tahun kerana berkumpul di Jalan Sepah Puteri 5/10, TSB 9A, Kota Damansara tanpa sebab munasabah apabila disoal siasat polis di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya satu lagi kes menyaksikan lelaki tempatan berusia 26 tahun ditangkap di sekatan jalan raya di Plaza Tol PJS2 Petaling Jaya sekitar 4 pagi tadi kerana tidak memberikan alasan munasabah mengenai pergerakannya di luar.

“Kesemua tangkapan disiasat di bawah Peraturan 11 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

“Jika disabitkan kesalahan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Saya memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP yang telah memasuki fasa kedua mulai 1 April lalu dan kegagalan boleh menyebabkan anda ditangkap dan didakwa di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya.-MalaysiaGazette