Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abd Ghani Hassan.

KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan akan melaksanakan pengurangan gaji kakitangan sebanyak 10 dan 20 peratus secara sementara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April ini dilanjutkan susulan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Abd Ghani Hassan berkata, keputusan berat diambil oleh pihak pengurusan MFL itu dicapai hasil mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Hamidin Mohd. Amin menerusi satu persidangan video pada Isnin lalu.

Jelasnya, langkah pengurangan gaji sebanyak 10 dan 20 peratus itu terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan selepas pihak pengurusan mengambil kira setiap aspek dengan teliti terutama kesan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Kesan penularan wabak Covid-19 ini menyaksikan MFL terpaksa menangguhkan saingan Liga Malaysia musim 2020 membabitkan pertandingan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA selain TM Piala Malaysia dan Challenge Cup.

“Penangguhan yang bermula 16 Mac lalu, dua hari sebelum arahan PKP oleh pihak kerajaan itu turut membabitkan saingan liga amatur iaitu Liga M3 dan Liga M4 di bawah kelolaan Amateur Football League (AFL) demi keselamatan dan kesihatan semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abd Ghani menambah, langkah pengurangan gaji semua kakitangan MFL akan dilaksanakan bermula April ini sehingga PKP ditarik balik dan menerusi perbincangan bersama, kakitangan sepakat untuk menerima keputusan itu bagi memastikan MFL terus bergerak ke depan.

Kata beliau, MFL percaya langkah berkenaan adalah yang terbaik dalam usaha untuk terus menjaga kebajikan kakitangan walaupun ia sesuatu yang berat untuk dilaksanakan oleh pihak pengurusan.

“MFL juga percaya semua kakitangan memahami keputusan yang diambil dan akan terus bersama mengharungi detik mencabar ini demi bola sepak Malaysia.

“Biarpun langkah ini diambil, ia tidak memberi kesan kepada operasi MFL yang sentiasa bersedia untuk menyambung semula Liga Malaysia berdasarkan keadaan semasa wabak COVID-19 jika perintah PKP ditarik balik oleh kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette