Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, ACP Mohd Ismail Muslim bercakap pada sidang media berkenaan OPS Covid-19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan wabak Covid-19 di Menara 1, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 04 APRIL 2020.

SHAH ALAM – Seramai 974 individu telah ditahan polis di Selangor kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang penguatkuasaan sekatan jalan raya Op Covid-19 di negeri tersebut.

Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Selangor selaku jurucakap khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 59 orang adalah wanita yang didapati melanggar PKP sepanjang sekatan jalan dari 18 Mac hingga semalam.

“Setakat ini sepanjang tempoh sekatan jalan dilaksanakan polis di Selangor semalam, sebanyak 737 laporan polis berkaitan kes perlanggaran PKP diterima polis dan 484 kertas siasatan telah dibuka.

“Kami mengingatkan supaya barisan hadapan kita iaitu pegawai dan anggota di lapangan di semua sekatan jalan di negeri ini bawah 17 daerah mengambil tidnakan tegas terhadap semua orang yang didapati memberi alasan tidak kukuh dan melanggar PKP,” katanya dalam sidang media Op Covid-19 IPK Selangor hari ini.

Tambah Mohd Ismail, setakat ini, 57 individu yang ditahan atas kesalahan melanggar PKP telah berjaya dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan juga disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkawan.

Beliau juga mengakui terdapat kes tangkapan perlanggaran PKP melibatkan kes di bawah Akta Dadah Merbahaya selain anggota masyarakat yang bermain judi dan Peruntukan 11(1) bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit 2020 digunapakai supaya pesalah tidak dapat membebaskan diri daripada dikenakan tindakan berat.

Justeru itu katanya bagi meningkatkan pematuhan tinggi masyarakat di Selangor yang setakat ini mencapai 92 peratus sahaja menerusi sekatan jalan PKP setakat ini, katanya jumlah sekatan jalan raya telah dipertingkatkan kepada 89 iaitu meningkat 37 sekatan jalan.

“Ia lebih tinggi berbanding 52 sekatan jalan pada fasa pertama sehingga 31 Mac lalu penguatkuasaan PKP di Selangor. Jadi polis mengawal secara berkesan di semua pintu masuk lebuh raya dan jalan Persekutuan menyekat pergerakan masyarakat yang bersempadankan dengan Kuala Lumpur.

“Pergerakan di dalam lingkungan radius 10 kilometer masih dibenarkan walaupun merentasi sempadan Selangor dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Tegasnya dengan langkah penambahan jumlah sekatan jalan raya Op Covid-19 di setiap daerah polis negeri tersebut di laluan negeri dan Lebuhraya Persekutuan di Selangor ia sekaligus mengurangkan pergerakan ramai semaksimum mungkin.

“Justeru, polis juga menutup 34 jalan alternatif yang dikenalpasti di lapan daerah dibawah kendalian polis apabila dikesan menjadi laluan tikus dan alternatif yang mengelak sekatan jalan polis.

“Di Petaling Jaya sahaja empat jalan tikus dan alternatif yang mengelak orang daripada menghadapi sekatan jalan Op Covid PKP polis telah dikenalpasti dan ditutup segera.

“Langkah sama akan dilaksanakan di setiap daerah di Selangor yang telah dikenalpasti laluan tikus dan alternatif yang menjadi tumpuan orang sekiranya masyarakat negeri Selangor tidak bekerjasama dan tahap pematuhan tidak menampakkan perubahan ketara daripada 92 peratus ketika ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor akan menyediakan kemudahan terowong nyahkuman untuk kegunaan semua pihak yang berurusan di setiap hari di ibu pejabat polis daerah dan negeri selepas ini.

Mohd Ismail berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan setiap pegawai dan anggotanya terhadap Covid-19.

Bagaimanapun katanya Jabatan Logistik dan Teknologi Selangor telah membuat permohonan untuk mendapatkan sejumlah peruntukan khas bagi melaksanakan pemasangan terowong disinfeksi atau nyahkuman itu di setiap IPD dan IPK di Selangor.

“10 tunnel (terowong) nyahkuman berkenaan dipohon dan kita masih menunggu kelulusan Logistik PDRM dari Bukit Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada apakah IPK Selangor juga mempertimbangkan langkah Sabah yang menyediakan terowong nyahkuman di setiap polis daerah di negeri itu.- MalaysiaGazette