Orang ramai memakai penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan terhadap wabak koronavirus ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang kembali ke tanah air dari luar negara tidak kira melalui pengangkutan udara, darat atau laluan laut akan dikuarantin selama 14 hari di hotel bertaraf tiga bintang.

Sumber Kabinet memberitahu Sinchew Daily, kos penginapan mereka akan ditanggung oleh kerajaan.

“Tidak kira naik kereta atau kapal dari Singapura atau Thailand, semua rakyat Malaysia kena dikuarantin.

“Kami sedang mengenal pasti hotel tiga bintang sesuai yang berhampiran dengan lapangan terbang untuk menempatkan mereka,” kata sumber itu.

Beliau berkata, disebabkan sekatan, orang yang keluar masuk antara Malaysia dan Singapura atau Thailand adalah sangat sedikit

“Kemasukan justeru adalah tertumpu kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Tegasnya, penguatkuasaan untuk kuarantin itu akan dilaksanakan dengan ketat mulai 3 April.

Menurut sumber itu, Jemaah Menteri juga berbincang panjang lebar pada Rabu untuk memastikan kelancaran pengagihan Bantuan Perihatin Nasional.

“Mesyuarat turut berbincang tentang bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta isu pengagihan penutup mulut secara berkesan kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, sumber berkata, masih terlalu awal untuk membincangkan isu penutupan pasar Ramadan.

“Isu ini perlu tunggu sehingga penghujung fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya. – MalaysiaGazette