Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM2 juta kepada Menteri Besar Negeri Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam.

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) semalam menyampaikan sumbangan bernilai RM2 juta kepada kerajaan negeri Perak sebagai sebahagian daripada sumbangan RM17.5 juta yang diagihkan syarikat utiliti elektrik negara itu secara terus kepada negeri-negeri di Semenanjung untuk menangani Covid-19.

Sumbangan disampaikan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di satu majlis ringkas di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Perak, Datuk Raja Abdul Jalil Raja Zaid.

“TNB adalah entiti korporat yang terawal tampil membantu kerajaan menangani penularan virus Covid-19 dengan sumbangan RM10 juta kepada Kementerian Kesihatan Malaysia yang digunakan untuk membeli peralatan dan bekalan perubatan,” kata Shamsul Anuar dalam ucapannya di majlis itu.

Peruntukan tambahan RM17.5 juta kepada kerajaan-kerajaan negeri menjadikan keseluruhan sumbangan TNB bagi memerangi penularan wabak COVID-19 kepada hampir RM28 juta.

Jumlah terbaharu itu membolehkan pihak negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri mendapatkan peralatan seperti ventilator (alat bantu pernafasan) dan barang-barang perubatan lain yang diperlukan.

Bagi negeri Perak, sumbangan RM2 juta ini adalah bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri mendapatkan peralatan dan bekalan perubatan yang diperlukan.

Antaranya, merangkumi ventilator serta bantuan sebanyak RM500,000 kepada Hospital Manjung.

“Keprihatinan TNB dalam membantu usaha menangani wabak Covid-19 didorong rasa tanggungjawab syarikat tersebut yang turut mempunyai ribuan warga kerja di barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” jelas Shamsul Anuar.

Selain sumbangan hampir RM28 juta tersebut, TNB juga menyuntik dana RM150 juta bagi menyokong usaha kerajaan memberi diskaun elektrik berperingkat kepada pengguna
kediaman domestik.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, pengguna kediaman/domestik bakal menikmati diskaun bil elektrik antara dua hingga 50 peratus selama enam bulan mulai 1 April hingga 30 September 2020.- MalaysiaGazette