KUALA LUMPUR – BIMB Holdings Berhad (BHB) menyumbang sejumlah RM1.6 juta untuk menyokong usaha kemanusiaan dan berkaitan perubatan dalam menangani pandemik Covid-19.

BHB menyumbang RM1.0 juta kepada Tabung #MusaadahCOVID-19 yang dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertujuan memberikan bantuan kepada petugas barisan hadapan Islam dan bukan Islam yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan. S

Sumbangan telah disampaikan kepada Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 30 Mac lalu.

Sementara itu, anak syarikat BHB iaitu Bank Islam, menerusi cabang tanggungjawab korporatnya, Amal pula menyediakan peruntukan sebanyak RM600,000 untuk inisiatif-inisiatif berikut:

i. Bantuan kewangan kepada usahawan mikro yang perniagaannya terjejas teruk akibat pandemik.
ii. Sokongan Bantuan Langsung yang akan digunakan untuk menyalurkan bantuan makanan dan barangan keperluan kepada universiti, rumah anak yatim, rumah orang tua dan orang kelainan upaya (OKU), serta keperluan asas perubatan kepada hospital dan klinik kesihatan daerah.
iii. Pembelian barangan keperluan untuk hospital-hospital di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif BHB dan Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, sumbangan sebanyak RM1.6 juta ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan membantu masyarakat terjejas dan kurang bernasib baik yang menerima kesan signifikan ekoran pandemik ini.

”Melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, kami berharap ia dapat meringankan beban semua pihak yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette