WUHAN – Pihak berkuasa bandar Wuhan semalam melakukan kerja-kerja nyah kuman di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe.

Operasi lapangan terbang itu akan disambung pada 8 April ini apabila bandar tersebut dijangka menarik balik larangan perjalanan berikutan penularan wabak COVID-19, lapor agensi berita, Xinhua.

Wuhan dipercayai merupakan sumber awal wabak COVID-19 dan ia mesat penularan pandemik itu China

Sementara itu, portal Simply Flying yang memetik Xinhuanet melaporkan, sepasukan 161 profesional melakukan kerja-kerja nyah kuman di kawasan seluas 570,000 meter persegi di Terminal 3 lapangan terbang itu.

Agensi berita kerajaan China itu mengenalpasti mereka yang melaksanakan tugas tersebut sebagai anggota bomba.

Pada Jumaat lalu, sepasukan anggota bomba, yang berpakaian Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat), melakukan kerja-kerja nyah kuman pada kemudahan-kemudahan seperti bangku, lif dan troli di terminal tersebut.

“Kerja menyah kuman bertujuan untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan sihat untuk pelanggan apabila operasi disambung semula,” kata Ye Tao, Ketua Pengurusan Terminal, Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe.

Selain itu, lapangan terbang tersebut sedang melakukan latihan dan penilaian perkhidmatan peribadi dan menjalankan pemeriksaan ke atas kemudahan-kemudahan utama seperti sistem pengudaraan.

Melakukan ‘penilaian risiko’ merupakan aktiviti lain yang dilaksanakan pihak berkuasa sebagai persediaan untuk menyambung semula operasi. – MalaysiaGazette