KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berharap Pakej Rangsangan Ekonomi yang akan dibentangkan khusus buat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dapat memberi kelegaan kepada pemain industri pelancongan, sekali gus menyelamatkan hampir 1 juta pekerja daripada kehilangan pekerjaan.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, MATA menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan
Kebudayaan Malaysia (MOTAC) bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) mewartakan bagi membolehkan hotel dan penginapan inap desa menjalankan semula operasi mereka.

“MATA juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, Menteri Kewangan Malaysia (MOF) yang begitu cakna dengan keluh kesah pemain industri pelancongan dengan kesudian mengadakan pertemuan pada 31 Mac lalu yang disertai oleh hampir kesemua ketua di dalam industri pelancongan.

”Hasil dari pertemuan tersebut, kami percaya pihak MOF dan MOTAC akan memperkasa Pakej Rangsangan Ekonomi bagi membantu PKS yang akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

MATA mewakili 3116 ahli yang terdiri daripada pengusaha syarikat pelancongan, pengusaha premis penginapan pelancongan, pengusaha inap desa, pemandu pelancong, syarikat penerbangan, pengusaha taman tema, syarikat
penggurup wang, syarikat insurans serta usahawan PKS berkaitan industri pelancongan

Tambahnya, MATA juga berterima kasih kepada pihak kerajaan yang akan menggunakan hotel sebagai salah satu tempat kuarantin selama 14 hari terhadap mereka yang baru pulang dari luar negara.

Keputusan tersebut, katanya, akan dapat membantu ahli-ahli MATA yang begitu tertekan dengan ketidaktentuan perniagaan pada hari ini.

“Dalam mendepani keadaan ekonomi global yang tidak menentu disebabkan pendemik Covid-19 ini, MATA menyeru semua ahli kami untuk lebih menumpukan dan membangunkan produk pelancongan domestik.

”Justeru itu, MATA akan mengadakan perbincangan dengan Tourism Malaysia untuk tujuan tersebut selepas
Perintah Kawalan Pergerakan berakhir,” katanya. – MalaysiaGazette