Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu merangka strategi dan pendekatan khas buat kumpulan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik covid-19.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, sektor PKS yang menyumbang antara 38 hingga 40% ekonomi perlu diberi perhatian serius supaya kesan gandaan kepada rantaian permintaan tidak terkesan dek kerana ramai terputus sumber pendapatan, sekali gus merencatkan kebolehupayan berbelanja rakyat.

Asyraf mendakwa menerima banyak maklum balas dalam kalangan usahawan dan peniaga kecil dan sederhana yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan oleh kerajaan sejak 18 Mac lalu hingga 14 April ini bagi membendung wabak Covid-19.

Antara keluhan mereka ialah tidak bergaji tetap dan tiada pendapatan langsung sepanjang berada di rumah tetapi perlu membayar macam-macam utiliti.

Malah, ada syarikat-syarikat kecil mendakwa terpaksa membayar gaji pekerja dengan keadaan perolehan terhenti.

Peniaga-peniaga berkenaan turut mendakwa walaupun banyak bantuan ditawarkan dalam bentuk pinjaman tetapi sukar untuk diperoleh akibat karenah birokrasi.

Selain itu, perolehan yang tidak menentu juga memberi kesan kepada pembayaran balik pinjaman, kata Asyraf. – MalaysiaGazette