Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Pelanggaran arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan oleh segelintir individu menyaksikan trend sikap rakyat Malaysia yang semakin terlalu individualistik.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila tindakan-tindakan tegas oleh polis yang didakwa menengking dan merotan individu-individu yang ingkar PKP dipersoalkan dan disiasat.

Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong yang kecewa dengan sikap rakyat Malaysia menyifatkan trend sikap ini sebagai tidak baik kerana Malaysia memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak dalam membendung wabak Covid-19.

Menurutnya, individu-individu yang melanggar arahan PKP yang sudah memasuki fasa kedua seperti orang yang hilang akal kerana terlalu mementingkan kehendak sendiri hingga tidak peduli keselamatan rakyat terbanyak.

“Kerajaan melaksanakan PKP bersebab untuk membendung penularan wabak yang bahaya. Itu pun bukan tidak boleh keluar langsung tetapi jika ada keperluan. Jadi mengapa tidak boleh bekerjasama?.

“Saya dapati rakyat Malaysia sudah hilang norma-norma hidup bermasyarakat sebaliknya menjadi individu yang terlalu pentingkan diri sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau yang menyatakan rasa kecewa dan sedih apabila ada anggota polis disiasat kerana bertindak tegas kepada rakyat yang ingkar arahan kerajaan, khususnya ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang bergelut dan berjuang untuk menyelamat nyawa rakyat di negara ini.

“Kalau arahan polis yang menjaga keamanan negara pun tak mahu dengar, apa nak jadi? Saya juga amat sedih apabila ada anggota polis yang bertindak tegas pula disiasat.

“Ini satu isyarat yang tidak betul kepada masyarakat. Saya harap perkara ini dilihat semula secara berhati-hati. Kalau isu ini silap ditangani, rakyat Malaysia semakin banyak songeh,” tegasnya.

Melihat perkembangan mutakhir itu, Teo mencadangkan agar kerajaan menempatkan lebih ramai tentera komando sebagai barisan hadapan dalam mengawasi pergerakan rakyat.

Pendekatan ini bukan untuk menafikan peranan polis tetapi mengajar rakyat Malaysia lebih berdisiplin dan menghormati arahan terutama ketika situasi getir seperti hari ini.

“Polis selalu berada dalam masyarakat menyebabkan rasa takut rakyat kepada mereka walaupun yang berpangkat tinggi semakin berkurangan berbanding askar yang kurang berada dalam masyarakat.

”Selain itu, kedudukan askar dipandang secara simbolik sebagai benteng pertahanan negara. Warna, pakaiannya sahaja sudah menggerunkan rakyat, itu belum lagi mereka menjerit. Walaupun jika seorang prebet yang menjerit tiada siapa yang berani, apatah lagi menularkan video-video.

“Pada saya kalau dengan meletakkan askar dapat mendisiplin rakyat daripada bergerak, sekali gus dapat membendung penularan wabak ini, tidak ada salah kerajaan menempatkan askar-askar komando,” tambahnya. – MalaysiaGazette

7 Komen

  1. Setuju prof!..rakyat malaysia terlalu manja sebenarnya..mau kena mcm filipine br merasa

  2. Bagus cadangan prof tu..
    Lebih2 lagi dtg dr org bukan melayu..
    Memang selalunye anggota2 polis ni dipandang rendah oleh masyarakat terutama yg bukan melayu. Persoalannye..
    Majority anggota polis/renters org melayu betul?
    Mane bangsa2 lain..knp x jadi polis atau askar. Sibuk menuntut hak yg sama tapi tak mahu berkhidmat utk negara sampaikan ada yg menghina n memperkecilkan anggota2 n pekerjaan mereka ni.

  3. Bekalkan Polis,askar rotan,
    Dapat antara cara dapat menggerunkan rakyat
    Kalau dah tak makan saman , rotan terus kat situ,
    Menangkap,melokap, naik turun mahkamah menambah beban kerajaan walaupun dapat menambah hasil kerajaan,
    Motif PKP untuk membendung dan mempercepatkan proses pengasingan antara pembawa wabak dan tidak.
    Bukan mencari hasil dari wabak.
    Tetapi bagi penghalang² penguatkuasa menjalankan tugas mereka , mereka ini perlu dihukum dgn seberat berat nya, kerana jika di biarkan ia juga akan menjadi “Wabak Degil* dikalangan rakyat, apatah lagi jika mereka² ini dari kalangan yg berduit…!!!
    Disini lah pertimbangan antara “Disiplin dan Wang”…SIAPA PENENTU KEJAYAAN

Comments are closed.