Emak Pep Guardiola mangsa terbaharu Covid yang meninggal dunia hari ini.

LONDON – Ibu kepada Pep Guardiola meninggal dunia akibat Covid-19 di Sepanyol hari ini.

Manchester City mengesahkan berita mendukacitakan yang menimpa pengurusnya itu.

Kelab dalam kenyataan rasmi memaklumkan bahawa Dolor Carrio meninggal dunia pada usia 82 tahun.

“Manchester City dan keluarganya terkejut dengan laporan kematian ibu Pep iaitu Dolors Sala Carrio di Manresa Barcelona selepas positif Covid-19.

“Semua pihak dalam kelab menzahirkan takziah dan simpati kepada Pep yang terpaksa mengharungi detik yang mendukacitakan ini bersama keluarganya,” kata kenyataan itu.

Man City memberi penghormatan terakhirnya dalam media sosial.

Selain itu, Tottenham Hotspurs dan Brighton turut merakamkan takziah kepada keluarga Guardiola.

Pada minggu lalu Guardiola menyumbangkan dana £920,000 pound kepada untuk memerangi pandemik di Sepanyol dan dana tersebut digunakan oleh Yayasan Daniel Angel Soler untuk membeli peralatan perubatan.

Guardiola kini berada di Barcelona berikutan berita kematian emaknya bagi melangsungkan upacara perkabungan dan pengkebumian.-MalaysiaGazette