Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa agar individu yang menandatangani surat kebenaran pengoperasian kilang arak harus bertanggungjawab sepenuhnya.

Menurut beliau, tindakan meluluskan pengoperasian kilang arak itu adalah satu perkara yang tidak wajar dan menimbulkan rasa kurang senang rakyat di negara ini.

“Dilaporkan, pihak kerajaan telah menarik kembali kelulusan dalam tempoh PKP untuk syarikat arak berkenaan . Alasan kerajaan, pihak Menteri berkaitan tidak dimaklumkan kelulusan itu.

“Justeru itu, adalah disyorkan individu yang menandatangani surat berkenaan tampil memberikan penjelasan kepada rakyat bagaimana hal itu boleh terjadi.

“Ia amat tidak wajar dan ramai yang ingin mengetahui alasan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Asri turut menggesa agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri campur tangan dalam isu ini.

“Mungkin juga Menteri Agama (Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) dapat membantu menjelaskan pendirian kerajaan dalam hal arak di negara ini. Semoga satu polisi yang lebih baik digubal agar tiada muslim yang boleh terlibat dengan apa-apa urus niaga arak.

“Termasuklah pekerja di kaunter pasaraya, kedai dan apa sahaja, muslim dilarang terlibat dalam urusan jual beli arak. Ia memudaratkan diri dan tidak baik untuk orang lain,” katanya.

Semalam, tular sepucuk surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) apabila memberi kebenaran kepada syarikat arak Heineken Malaysia Berhad untuk beroperasi semasa PKP.

Di dalam surat tersebut dinyatakan bahawa Heineken pada 24 Mac lalu telah memohon kebenaran untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Terimakasih Datuk Dr MAZA, one the muftis in Malaysia yg masih ada telor, and the only one yg tak kekok bersuara. Kami sokong Datuk… Teruskan bersuara demi Agama n Negara

Comments are closed.