Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil pendekatan ad-hoc bagi memberi laluan kepada strategi keluar kepada masyarakat untuk tempoh selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan kini menghadapi pertempuran sukar menentang Covid-19 namun tindakan pantas untuk melakukan ujian, pengesanan kontak, pengasingan kes yang disahkan, menasihati orang ramai, melaksanakan PKP dan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi adalah sesuatu yang terpuji.

“Walaupun langkah-langkah telah diambil oleh kerajaan, kita masih melihat beberapa kumpulan individu mengabaikan nasihat dan arahan yang diberikan.

“Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil pendekatan ad-hoc bagi memberi laluan kepada strategi keluar yang lebih radikal, strategi keluar yang lebih mapan dan memperkenalkan keadaan baru kepada masyarakat selepas PKP,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang itu menambah, lokckdown tidak akan dapat bertahan selamanya dan kerajaan memerlukan strategi keluar serta menyesuaikan diri dengan norma baru dalam kehidupan.

“Pertama, kerajaan perlu mengendalikan penyebaran maklumat secara cekap. Maklumat yang dikongsi dalam kalangan jabatan dan agensi kerajaan perlu tepat dan konsisten.

“Komunikasi dengan orang awam perlu diartikulasikan dengan teliti. Kita perlu mendapatkan maklumat yang difahami dan sampai kepada setiap anggota masyarakat untuk mengelakkan senario yang serupa seperti KWSP dan TBS dari berlaku lagi.

“Murah, jika tidak percuma, kemudahan pengujian (kesihatan ) walk-in juga perlu diperkenalkan di seluruh Malaysia bagi semua orang untuk mengakses, sama seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan Korea Selatan.

“Menggunakan topeng mestilah dibiasakan dan stesen sanitizing mesti disediakan di semua ruang awam untuk mempromosikan amalan kebersihan yang lebih baik di kalangan orang ramai.”

Cadang beliau lagi, meningkatkan infrastruktur digital juga penting untuk beralih kepada masyarakat yang lebih bersedia berdepan krisis pada masa hadapan.

“Sistem pendidikan kita juga perlu dinilai semula dan diselaraskan. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada kelas fizikal dan mula beralih ke pendidikan digital.

“Jarak sosial yang ketat perlu dipertimbangkan sebagai gaya hidup jangka panjang, terutamanya dalam aktiviti harian seperti membeli-belah, urusan bank, dan aktiviti riadah. Perhimpunan awam seperti acara sukan dan hiburan, majlis perkahwinan, pengkebumian, sambutan hari lahir dan perhimpunan keaagamaan perlu disemak semula dengan sitem kawalan kemasukan orang ramai yang lebih ketat.

“Industri kita harus dapat menyesuaikan diri dan terus bergerak melalui perubahan mendadak dengan lancar. Kita telah mengabaikan kemajuan teknologi terlalu lama.”

Jelasnya, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkenalkan polisi dan insentif baru untuk pelaksanaan automasi secara besar-besaran.

“Pengecualian cukai, keutamaan untuk tender kerajaan dan skim adalah perkara yang boleh digunakan oleh kerajaan untuk menggalakkan peralihan kepada industri teknologi yang lebih bijak.

“Begitu juga graduan dan pekerja tempatan mestilah melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dan keupayaan untuk mengambil bahagian dalam persekitaran kerja yang sentiasa berubah. Mereka mestilah bersedia untuk menerima pakai, mampu bertahan, mengaplikasi penyelarasan pembaharuan yang tidak dapat dielakkan oleh syarikat dari semasa ke semasa.”

Ujarnya, perubahan itu mungkin kelihatan menakutkan tetapi ia adalah kos yang kecil untuk dibayar berbanding dengan nyawa, pekerjaan dan kerugian ekonomi yang mungkin timbul jika kita tidak melakukannya sekarang dan dengan pantas.

“Kehidupan harian kita pasti berubah, tetapi kehendak kita untuk hidup, iman kita, dan daya tahan kita akan lebih kuat dari sebelumnya,” katanya.- MalaysiaGazette