Dron turut digunakan semasa operasi disinfeksi untuk membendung penularan pandemik Covid-19 di sekitar Kampung Bharu, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

PULAU PINANG – Dalam keadaan ekonomi satu dunia menerima tamparan besar COVID-19, ekonomi Malaysia dikhuatiri perlu menunggu sehingga awal tahun depan untuk mengalami pemulihan secara beransur.

Pakar ekonomi, L. L. Kong berkata, walaupun jika kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir pada 14 April, tetapi perintah itu akan terus menghantui mental rakyat untuk berbulan-bulan lamanya, sekali gus menjejaskan pemulihan ekonomi.

“Kalau perintah kawalan tamat pada 14 April, kamu rasa ada orang akan pergi ke panggung dan makan besar di restoran pada keesokan harinya?

“Tentu tidak, orang ramai akan kekal di rumah. Selepas PKP, manusia masih akan dikawal PKP secara mental,  walaupun PKP itu sebenarnya sudah tamat,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Kong berkata,  keadaan “PKP mental” itu akan memberi impak yang besar kepada ekonomi negara untuk berbulan-bulan lamanya, malahan menyebabkan perusahaan gulung tikar.

Katanya, ia mungkin mengambil sehingga empat bulan, malahan lebih lama sebelum orang ramai mulai keluar berbelanja.

“Malahan, ia boleh mengambil masa hingga tahun depan sebelum ekonomi beransur pulih,” katanya.

Beliau berkata, banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin tidak dapat bertahan dalam tempoh berbulan-bulan itu.

“Terdapat 1.8 juta perusahaan kecil dan sederhana dan daripadanya, perusahaan sederhana adalah kira-kira 30 peratus.

“Kira-kira 20 peratus atau antara 60,000 hingga 100,000 perusahaan sederhana ini tidak akan dapat bertahan.

“Jika mereka gulung tikar, maka pekerja dalam perusahaan ini juga akan hilang mata pencarian,” katanya.

Dengan anggaran 60,000 perusahaan itu mempunyai purata 20 pekerja, Kong berkata, sebanyak 1.2 juta orang akan hilang pekerjaan.

Sementara itu, pakar kewangan, Datuk Chua Tia Guan berkata, kebanyakan perusahaan Malaysia tidak menyediakan payung sebelum hujan.

“Banyak syarikat tidak mempunyai tunai yang mencukupi untuk tiga hingga enam bulan.

“Mereka akan berdepan kemelut kewangan dengan PKP yang ada,” katanya. – MalaysiaGazette