PLUS Malaysia Bhd.

KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta untuk membeli Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) seterusnya diagihkan kepada barisan hadapan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Sungai Buloh (HSB).

Kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sumbangan itu simbolik rasa keprihatinan pihaknya terhadap usaha dan pengorbanan barisan hadapan yang berhadapan dengan risiko menangani Covid-19.

“Ketika seluruh tenaga kerja daripada HKL dan HSB memberi fokus untuk merawat pesakit Covid-19, PLUS membantu dalam proses perolehan di mana kami akan membeli terus dari pembekal dan menyelaraskan penghantaran peralatan ke dua-dua hospital terbabit.

“Inilah penglibatan dan bantuan yang kami boleh lakukan bersama untuk mengurangkan beban pasukan perolehan hospital tersebut dalam detil mencabar ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

PLUS berharap bantuan berkenaan dapat membantu meningkatkan lagi jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya daripada wabak tersebut.

“Wabak Covid-19 ini telah menjangkiti lebih satu juta orang di seluruh dunia dan di Malaysia sahaja lebih daripada 3,000 telah diuji positif. Melihat dari sudut yang positif, lebih daripada 1,000 rakyat Malaysia telah pulih daripada virus tersebut. Kami berharap dengan bantuan yang kami salurkan kepada HKL dan HSB ini berupaya untuk menyumbang kepada kadar pemulihan yang lebih tinggi,” tambah Azman.

Menyokong usaha kerajaan menangani wabak ini, maka PLUS menyeru rakyat Malaysia mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kekal berada di rumah.-MalaysiaGazette