KUALA LUMPUR – Syarikat-syarikat ahli di bawah Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) telah memperuntukkan RM2 juta bagi Dana Ujian Covid-19 (CTF) sebagai sebahagian daripada sumbangan industri insurans yang berjumlah RM8 juta.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata langkah itu merupakan antara usaha pihak industri untuk membantu rakyat yang terjejas dari segi kesihatan secara serta merta akibat virus itu dan impak ekonomi yang selanjutnya.

“Langkah itu juga akan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia berpeluang menjalani ujian untuk membendung penularan virus tersebut,” menurut LIAM.

Ketika sebahagian syarikat-syarikat insurans menghentikan sementara operasi di pejabat cawangan masing-masing dan memendekkan tempoh perniagaan berikutan Pergerakan Kawalan Terhad (PKP), LIAM berkata syarikat-syarikat ahlinya kekal komited dalam menyediakan perkhidmatan penting kepada pelanggan secara selamat.

“Syarikat insurans akan terus mengeluarkan surat jaminan, proses tuntutan dan pembaharuan polisi sepanjang tempoh ini,” katanya.

Malah, LIAM berkata beberapa syarikat ahlinya turut menawarkan perlindungan tambahan Covid-19 untuk pelanggan mereka tanpa membabitkan kos tambahan, di samping beberapa pengecualian polisi perubatan tertentu dan ada juga syarikat insurans yang membenarkan pembatalan insurans perjalanan dengan pembayaran balik penuh premium.

Menurut LIAM, dalam mengharungi tempoh yang mencabar ini, syarikat-syarikat ahlinya akan bekerjasama dengan pelanggan yang terjejas untuk mengkaji semula impak kewangan yang dialami.

LIAM berkata, pemandu yang memerlukan bantuan perjalanan segera sama ada akibat kemalangan jalan raya atau kerosakan, boleh menghubungi talian bantuan 24/7, Pusat Panggilan Bantuan Kemalangan (AACC) dengan mendail 15-500.

“Pelanggan juga diingatkan bahawa semua insurans motor mestilah sah sepanjang tempoh PKP. Mereka boleh menggunakan platform dalam talian untuk pembaharuan insurans motor,” katanya. – MalaysiaGazette