KUALA LUMPUR – Dua kawasan baharu, Sepang dan Kota Samarahan kini dikategorikan sebagai kawasan zon merah penularan Covid-19.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan zon merah sebanyak 23 kawasan berbanding 21 sebelum ini.

Infografik yang yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendedahkan Sepang sehingga jam 12 tengah hari semalam mencatatkan 46 kes berbanding 39 kes pada hari Isnin.

Kota Samarahan juga menunjukkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan 42 kes.

Sesebuah kawasan dikategorikan sebagai zon merah apabila ia mencatatkan lebih 41 kes.

Sebelum ini, Putrajaya, Jasin dan Rembau dikategorikan sebagai kawasan zon merah penularan Covid-19.

Putrajaya mencatatkan 41 kes positif Covid-19, Jasin 42 dan Rembau 41.

Kawasan zon merah lain adalah Petaling yang merekodkan 296 kes, Hulu Langat (324), Gombak (110), Klang (112), Seremban (162), Batu Pahat (47), Johor Bahru (145), Kluang (170), Jerantut (61), Kota Bharu (82), Hilir Perak (65), Kinta (87), Kuching (174) dan Tawau (67).

Selain itu, bagi kawasan yang dikategorikan sebagai zon jingga pula ialah Kuala Selangor dengan 30 kes, Sepang (39), Kuala Langat (22), Hulu Selangor (27), Alor Gajah (25), Melaka Tengah (33), Kulai (24), Muar (30), Kuantan (36), Pekan (23), Besut (29), Dungun (27).

Turut dikategorikan zon jingga ialah Kota Setar (24), Kuala Muda (33), Seberang Perai Tengah (37), Timur Laut (27), Kota Samarahan (36), Kota Kinabalu (34) dan Lahad Datu (38).

Sebanyak 28 kawasan masih mengekalkan tiada kes sehingga ini iaitu tiga di Semenanjung dan kawasan lain di Sabah dan Sarawak. – MalaysiaGazette