Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media pertama di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 13 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang mengambil inisiatif mewujudkan Tabung Covid-19 bagi membantu kerajaan dikehendaki supaya berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membolehkan mereka mendapatkan pengecualian cukai daripada Kementerian Kewangan.

“Pihak kerajaan mencadangkan supaya setiap tabung tersebut didaftar kerana Kementerian Kewangan telah pun mengumumkan bahawa penyumbang-penyumbang akan diberikan insentif untuk pengecualian cukai.

“Jadi kita harap mereka daftarkan, mereka laporkan kepada Kementerian Kewangan supaya pengecualian cukai dapat mereka nikmati dari segi faedah tersebut,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri mengumumkan jumlah wang tunai di dalam Tabung Covid-19 yang diwujudkan kerajaan telah mencecah RM22.66 juta setakat 7 April 2020.

Ismail Sabri juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak sama ada syarikat korporat mahupun individu yang telah membantu menyalurkan pelbagai bentuk bantuan sepanjang Peritnah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ramai rakyat Malaysia yang prihatin kepada mereka yang memerlukan bantuan termasuk sumbangan berupa PPE termasuk topeng muka dan sebagainya.

“Oleh itu banyak tabung diwujudkan, kita berterima kasih kerana ramai yang terlibat mewujudkan tabung-tabung seperti ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Yayasan Kebajikan Negara (YKN) telah menerima RM5.68 juta bagi Fasa 1 untuk pembelian bantuan keperluan harian kepada mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19, terutamanya yang berada di kawasan di bawah PKPD.

“Bagi Fasa 2, RM9.06 juta akan disalurkan ke Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) dan YKN untuk meningkatkan kemampuan pengagihan bantuan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette