Permandangan udara semasa anggota PDRM dan ATM melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 2 susulan penularan Wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah menahan 454 individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan yang dilakukan sejak semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tangkapan itu menunjukkan peningkatan berbanding Isnin lalu.

PDRM telah menahan 454 individu di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP.

“Jumlah yang ditangkap semalam meningkat berbanding 403 tangkapan pada hari sebelumnya.

“Berbanding kelmarin, kadar tangkapan ini meningkat kepada 13 peratus.

“Masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang degil dan ingkar perintah PKP,” katanya pada sidang media harian, hari ini.

Semalam, PDRM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 758 SJR di seluruh negara dan melakukan pemeriksaan ke atas 441,893 kenderaan.

Menurutnya, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 380 individu dikenakan reman manakala 74 individu lain diberi jaminan.

“Seramai 630 individu pula dituduh di mahkamah semalam.

“Jumlah tangkapan kumulatif ingkar PKP dari 18 Mac sehingga 7 April 2020 (semalam) adalah sebanyak 6,905 individu,” katanya.

Sementara itu, pihaknya juga telah membuat 35,263 pemeriksaan mengejut di seluruh negara.

“Sebanyak 5,580 premis pula telah diperiksa oleh pihak berkuasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette