Para petugas memakai sut PPE sebelum melakukan kerja-kerja saringan Covid-19 keatas orang awam yang hadir untuk membuat pemeriksaan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 MAC 2020.

PUTRAJAYA – Tidak timbul dakwaan bahawa pihak berkuasa kesihatan di negara ini gagal melindungi kakitangan barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Nooh Hisham Abdullah berkata setakat ini, tiada seorang pun frontliner yang dijangkiti wabak Covid-19 kerana pihaknya telah mematuhi prosedur ketat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani penyebaran wabak itu.

“Yang harus ditegaskan di sini, tiada seorang pun yang berkhidmat di wad COVID-19 dan ICU dijangkiti setakat ini. Bermaksud mereka mengamalkan langkah pencegahan dan memakai PPE semasa menjalankan tugas,” katanya pada sidang media Covid-19, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan Pakar Pediatrik dan Neonatologi, Datuk Dr Musa Nordin bahawa KKM gagal melindungi kakitangan barisan hadapan dalam menangani penularan wabak Covid-19.

Kenyataan itu susulan laporan 30 pekerja kesihatan dijangkiti penyakit tersebut ketika bekerja.

Musa turut mendesak supaya Noor Hisham dan pasukannya untuk turun padang dan melawat hospital yang terkesan.

Menjawab desakan itu, Noor Hisham menjelaskan, jangkitan kakitangan KKM di tempat kerja berlaku apabila pesakit dirawat tidak memaklumkan mereka ada hubungan dengan kontak rapat.

Ia disebabkan kakitangan terbabit tidak memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) ketika merawat mereka, katanya.

“Sebanyak 67 peratus kakitangan KKM dijangkiti di luar kawasan hospital apabila menghadiri majlis perkahwinan misalnya. Dua lagi ada sejarah perjalanan ke luar negara iaitu Turki dan Indonesia.

“Mereka datang ke hospital dan ada yang menjangkiti rakan,” katanya.

Noor Hisham bagaimanapun berkata, ada juga kakitangan di hospital atau pusat perubatan swasta yang dijangkiti Covud-19.

Katanya, selepas jangkitan pertama membabitkan pekerja perubatan di sebuah hospital swasta, KKM sudah mengadakan dua mesyuarat dengan pihak swasta bagi membincangkan langkah yang boleh diambil bagi mengelakkan penukaran wabak berkenaan.

“Kita dapat lihat kerjasama padu antara pihak swasta dengan kerajaan. Mereka juga berdepan kekangan dalam memperolehi topeng muka dan isu PPE dan kita bincang bersama.

“Kalau mereka ada idea yang bagus dan bernas, sila kemukakan kepada KKM,” katanya. -MalaysiaGazette