Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tidak timbul kadar bayaran RM150 sehari di hotel bertaraf empat dan lima bintang yang dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi kes jangkitan wabak Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Kluster Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, ini kerana kadar itu telah dipersetujui oleh pihak hotel yang terlibat.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan hanya memperuntukan RM150 seorang setiap hari.

“Jumlah RM150 adalah untuk bayaran bilik, makan dan minum 3 kali sehari.

“Isu ini tidak timbul kerana kerajaan telah mendapat persetujuan dengan hotel-hotel yang diwartakan bagi kadar RM150 ini,” katanya pada sidang media hariannya, hari ini.

Katanya, kerajaan dalam proses untuk mewartakan 67 hotel lagi, menjadikan keseluruhan 112 hotel sebagai Pusat Kuarantin.

“Bagi hotel-hotel yang berminat untuk dipilih sebagai Pusat Kuarantin, boleh menghubungi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.

Setakat 7 April 2020, pengurusan Pusat Kuarantin mempunyai sebanyak 127 Pusat Kuarantin termasuk 12 buah hotel telah beroperasi di mana 8,153 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

“Semalam (7 April 2020) seramai 697 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air, dengan semuanya telah dikuarantin wajib manakala 18 individu dihantar ke hospital,” katanya.

Jelas Ismail Sabri lagi, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat susah dan sedaya-upaya memberikan layanan terbaik kepada mereka.

“Pusat Kuarantin di seluruh negara dicadangkan dan dipilih oleh Kerajaan Negeri, di mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang menentukan pusat kuarantin di negeri masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette