Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bercakap pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 APRIL 2020

KUALA LUMPUR – Kawalan dan pemantauan di sempadan, termasuk perairan negara, akan diperketatkan lagi bagi mengelak pencerobohan dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah itu juga bertujuan mengesan dan menahan warga tempatan yang menjadi dalang membawa masuk PATI ke negara ini.

“Kawalan sempadan negara seperti ditegaskan Ketua Polis Negara (Tan Sri Abdul Hamid Bador), PDRM akan mempertingkatkan kawalan di semua sempadan negara terutama utara semenanjung bersempadan jiran Thailand, pesisir pantai barat, Timur dan Johor selain Kalimantan dengan Sabah dan Sarawak.

“Setakat ini 2,197 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dilibatkan dalam tugas di sempadan negara iaitu 50 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Pada masa sama kita memperketatkan laluan perairan khususnya di sebelah barat semenanjung dan selatan iaitu Pontian yang sering diceroboh pendatang asing menerusi laut,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Polis Johor dalam mesyuarat yang diadakan semalam mengambil keputusan untuk menyelaraskan kerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut Acryl Sani, pihaknya memohon bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melakukan rondaan yang lebih kerap untuk memantau dan menyekat laluan digunakan pendatang asing untuk menceroboh negara ini.

“Malah kerjasama akan dijalin antara KDNKA dan Cawangan Khas sebab kita mahu kenalpasti setiap warganegara kita yang sebenarnya selama ini menjadi dalang membawa masuk pendatang asing ke negara ini.

“Kita akan mengenalpasti dalang itu dan menjejaki mereka untuk memastikan siasatan penguatkuasaan dan segala aspek undang-undang akan digunakan ke atas mereka termasuk Akta Pengubalan Wang Haram (AMLA),” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.