Suasana sebahagian orang ramai sementara menunggu waktu berbuka puasa semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette pada Program Iftar @ Kuala Lumpur 2019 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 18 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) memperkenalkan e-iftar untuk kemudahan pihak tertentu menganjurkan tajaan berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan pertengahan April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, mana-mana pihak yang ingin membuat jamuan berbuka puasa seperti tahun-tahun sebelum ini masih boleh meneruskan amalan itu tanpa menganjurkan majlis yang melibatkan perhimpunan besar-besaran.

Pihak yang berminat, menurutnya, boleh membuat tempahan makanan menerusi YWP yang akan menghantar terus kepada kumpulan sasaran seperti anak yatim, gelandangan dan golongan asnaf.

“Jadi nak ditawarkan mereka yang nak buat kebajikan kita akan menawarkan satu kaedah kita sediakan set menu (makanan) Yayasan WP (Wilayah Persekutuan) sedang adakan perkara ini.

“Orang yang nak sedekahkan makanan perlu beritahu berapa orang dia nak beri untuk berbuka puasa, dia boleh beri alamat orang yang dia nak jemput berbuka, kita boleh hantar, ini dipanggil e-iftar,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di laman Facebook hari ini.

Kata Annuar, YWP juga boleh membantu mencari golongan yang memerlukan menggunakan pangkalan data yang dimilikinya.

“Jadi sesiapa yang nak buat amal jariah nak menjamu orang makan berbuka kita alu-alukan kaedah cara baru dengan e-iftar,” tambah Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan.-MalaysiaGazette