LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui dia tidak sabar untuk meneruskan musim ini yang sedang ditangguhkan.

Ini kerana dia yakin pasukannya akan lebih baik sekiranya musim ini disambung semula.

Solskjaer juga percaya penangguhan pertandingan akan membuat Rashford dan Pogba lebih bermotivasi untuk pulih tidak lama lagi kerana mereka berpotensi bermain semula sepanjang musim ini.

“Paul (Pogba) dan Marcus (Rashford) kita lihat telah lama berehat kerana kecederaan, dan kini kami mempunyai lebih banyak masa untuk mereka pulih.

“Dengan situasi semasa, mereka mungkin lebih bermotivasi untuk pulih daripada kecederaan mereka.

“Mereka juga dapat melihat bahawa ketika mereka kembali dari kecederaan nanti, mereka akan berada pada tahap yang sama atau lebih baik secara fizikal.

“Buat masa ini mereka mempunyai peluang untuk mengambil bahagian yang lebih besar daripada yang mereka harapkan. Mereka adalah pemain yang besar untuk kami dan mereka adalah salah satu pemain yang paling penting dalam pasukan kami.” katanya kepada Sky Sports.

Sementara itu, musim 2019/2020 kini digantung seketika berikutan penyebaran virus corona yang besar di seluruh dunia terutama di Eropah.

Peminat mula bimbang penangguhan musim akan menjejaskan United kerana prestasi mereka begitu menyerlah sebelum musim pertandingan dihentikan di mana mengharungi 11 perlawanan tanpa kekalahan. – MalaysiaGazette