Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Digital @ KL2017 sempena Temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 JULAI 2017.

KUALA LUMPUR – Semua pihak yang terlibat dalam industri bola sepak negara perlu segera menyahut saranan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk akur saranan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan jangan berterusan mencipta pelbagai alasan demi mencapai kata sepakat sepanjang krisis Covid-19.

Bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang juga pemerhati sukan tanahair, Datuk Seri Zolkples Embong melihat apa diputuskan oleh FAM melalui Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam itu sebagai wajar demi menjaga periuk nasi semua pihak berkepentingan.

Tambahnya, apabila FIFA telah mengeluarkan garis panduan sebegitu, maka tiada sesiapa perlu mempertikaikannya lagi dan semua pihak perlu segera mencari titik persamaan serta formula bersesuaian berhubung soal kontrak dan gaji pemain.

“Semua pihak terutama pemain dah boleh muhasabah diri dan kena beri ruang untuk kerjasama sebaik FIFA keluarkan garis panduan sebegitu dan mereka kena sedar realiti sebenar yang sedang terjadi.

“Realitinya kita semua berada dalam situasi untuk terus kekal bertahan memandangkan impak ekonomi daripada wabak Covid-19 ini juga menjejaskan kewangan banyak pihak terutama penaja.

“Jadi, pemain kena fikirkan sama adakah mereka mahu melihat pasukan yang diwakili tutup kedai gara-gara masalah ini kerana enggan berbincang soal gaji dan jika fikir mereka susah,ramai lagi di luar sana yang lebih susah serta terjejas teruk daripada segi pendapatan kerana wabak Covid-19.

“Maka saya berharap pihak yang mewakili pemain seperti Persatuan Pemain Bolasepak Profesional (PFAM) dapat menemui badan pentadbir liga, Malaysian Football League (MFL) dalam mencari formula yang mampu memberi kepuasan semua pihak serta boleh bertolak ansur dalam situasi genting ini,” katanya.

Semalam, FAM dalam satu kenyataan meminta semua pihak mampu akur garis panduan FIFA yang dikeluarkan Selasa lalu bagi bersama-sama menangani impak ekonomi ekoran penularan wabak COVID-19.

Beberapa langkah telah dicadangkan FAM seperti pasukan perlu berbincang terus dengan pemain serta kakitangan teknikal melalui satu perjanjian bersama.

Selain itu, MFL dan PFAM juga digalakkan duduk semeja menyediakan sebarang bentuk pakej serta pelan Penstrukturan Penggajian Sementara yang mewakili semua pasukan serta pemain.

Kedua-dua langkah ini perlu diambil tindakan segera sebelum 22 April ini.

Selain itu, Zolkples mengakui isu penularan wabak Covid-19 ini membawa bencana kepada seluruh dunia termasuk industri sukan dan sesiapa tidak pernah terfikir kesannya mampu seteruk sebegini.

Justeru beliau meminta semua pihak melihat skop yang lebih luas dan bukannya terhadap diri semata-mata.

“Dalam situasi sekarang, saya harap semua orang sudah boleh celik mata dengan perkembangan sedang berlaku membabitkan sukan-sukan di seluruh dunia malah temasya sebesar Sukan Olimpik pun kena tunda.

“Maka, warga sukan juga kena lakukan pengorbanan kerana semua pihak merasai keperitan yang sama kerana apa yang jadi keutamaan seluruh masyarakat dunia sekarang ialah kita bebas daripada Covid-19,” katanya. – MalaysiaGazette