Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

PUTRAJAYA – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 28 April ini akan membantu Kementerian Kesihatan membendung penularan Covid-19 ke tahap yang stabil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pengekangan penularan Covid-19 berada di peringkat pertengahan dan masih memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

Malah katanya, usaha pencegahan perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian virus itu melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

“Ini adalah wajar, sepertimana yang disebut sendiri oleh Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 25 Mac 2020 iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan Covid-19.

“Dr Tedros turut mengingatkan bahawa tindakan untuk menamatkan perintah ini dengan terlalu awal boleh mengakibatkan penularan semula COVID-19 di sesebuah negara. Dikhuatiri, kes penularan Covid-19 mungkin akan rancak kembali berlaku di kalangan masyarakat.

Berikutan itu beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang lebih tinggi pada setiap masa dengan lebih kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun.

Sementara itu, Noor Hisham memberitahu, pasukan perubatan dari China akan tiba di Malaysia dalam masa dua minggu bagi berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka mengendali dan merawat pesakit Covid-19.

“Ia juga penting untuk menambahbaik tahap efisien perkhidmatan rawatan kita di sini dalam memulihkan pesakit dan memerangi virus maut itu,” ujarnya

Pada 28 Mac lalu, Duta China ke Malaysia, Bai Tian menyatakan kesediaannya untuk menghantar pakar perubatan ke negara ini dalam usaha membanteras penularan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham memaklumkan kementeriannya telah menerima kit ujian pantas saringan Covid-19 daripada Korea Selatan.

“Kita akan akan menggunakan kit terbaharu yang diterima itu untuk membuat ujian pengesanan dalam masa terdekat.

“Kami mahu memastikan kit antigen terbaharu ini boleh memberikan bacaan suhu secara berkesan dan tepat iaitu 80 dan ke atas,” katanya. – MalaysiaGazette