Anggota polis melihat Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin menyifatkan rakyat negara ini sebagai insan-insan yang hebat sepanjang negara berdepan dengan wabak Covid-19.

Dalam ucapan penghargaannya, Muhyiddin berkata, doktor dan jururawat yang berada di barisan hadapan telah mengambil risiko setiap kali melangkah masuk ke wad.

Namun, mereka terus melangkah dengan gagah untuk menyelamatkan nyawa orang lain.

Walaupun letih, mereka tidak mengeluh tetapi terus berkhidmat dengan cekal.

”Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan,” kata Perdana Menteri.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada doktor dan jururawat di hospital swasta yang menerima pesakit-pesakit bukan Covid-19 untuk dirawat ketika hospital kerajaan sibuk menerima pasakit yang dijangkiti virus tersebut.

”Terima kasih juga kepada anggota polis dan tentera yang menjaga sekatan jalan raya. Anda berpanas, berhujan, tetapi terus menjalankan tugas. Syabas saya ucapkan.

”Juga kepada anggota Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam, Bomba, RELA, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang turut membantu. Saya ucapkan terima kasih.

”Terima kasih juga kepada insan-insan yang bermurah hati membungkus makanan untuk dihantar kepada para petugas di barisan hadapan. Mereka buat secara percuma tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Anda adalah insan yang hebat,” ujarnya.

Begitu juga kepada mereka yang bekerja menghantar makanan kerana mengambil risiko keluar rumah untuk memastikan orang lain boleh makan.

”Anda melakukan satu pekerjaan yang mulia. Pesan saya, jaga kesihatan, jaga keselamatan, jangan bawa motor laju-laju. Anda juga insan yang hebat.

”Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita. Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette