Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan yang mahu membenarkan tukang gunting rambut dan pendandan rambut beroperasi boleh membawa risiko tinggi jangkitan Covid-19 kepada rakyat.

Tan Sri Rais Yatim berkata, itu sebenarnya cara terbaik Covid-19 boleh berjangkit sambil memberi mesej supaya kerajaan supaya menangguhkan pelaksanaan itu sehingga keadaan mengizinkan kelak.

Dalam ciapan twitter terbaharunya, veteran politik itu berkata, perkara itu tidak perlu dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandangkan orang ramai sedia maklumkan perkara tersebut secara umum.

“Ramai risau bila tukang gunting dan pendandan rambut kini dibenarkan beroperasi. Ini cara terbaik Covid-19 berjangkit..tak perlu rujuk KKM,” katanya dalam status twitter beliau hari ini.

Tambah beliau kedudukan tukang gunting dan pendandan rambut yang begitu dekat sangat dengan pelanggan boleh menambah risiko jangkitan.

“Nafas tukang gunting pun boleh terhidu..pikirlah balik (kerajaan). Nanti nak wangi lalu hangit!,” tegasnya lagi.

Semalam dalam sidang media situasi semasa Covid-19 di Putrajaya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menasihatkan kerajaan supaya menangguhkan dahulu segala tindakan membenarkan industri ekonomi sampingan termasuk sektor gunting rambut beroperasi secara berperingkat.

Katanya, negara akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian Covid-19 dan mengurangkan jangkitan virus maut itu di negara ini.

Beliau bimbang tindakan kerajaan berkenaan mampu mengugat usaha yang diambil selama ini memandangkan negara kini berada dalam saat penting menentukan kejayaan atau kegagalan usaha yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.- MalaysiaGazette