Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Langkah pegawai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Dr. Afif Bahardin yang tampil mempertahankan keputusan menteri kanan tersebut untuk membenarkan perkhidmatan gunting rambut dibuka sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibidas pemimpin PKR.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, ahli politik harus lebih berhemah dalam mengeluarkan kenyataan agar tidak membahayakan kesihatan dan nyawa rakyat Malaysia dalam menangani wabak Covid-19.

“Paling jelas adalah pembukaan semula salun atau kedai gunting rambut yang diumumkan oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Apakah rasional dari segi impak sektor perkhidmatan ini kepada ekonomi negara sehingga kerajaan sanggup mengambil risiko ini?” soalnya hari ini.

Setiausaha Politik Presiden PKR, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Afif semalam berkata, perkhidmatan itu antara lain perlu dibuka untuk membolehkan orang ramai mengawal darah tinggi.

Bekas Exco kerajaan Pulau Pinang itu dalam satu kenyataan berangkai di Twitter mendakwa, kaitan menggunting rambut dan sakit darah tinggi itu disokong oleh kajian perubatan.

“Perkhidmatan gunting rambut mempunyai asas dari sudut kajian perubatan yang dilaksanakan oleh The New England Journal of Medicine menjelaskan bahawa perkhidmatan ini mampu mengurangkan tekanan darah tinggi; antara salah satu tekanan yang dihadapi rakyat Malaysia ketika ini,” katanya memetik laporan sebuah portal hari ini.

Mengulas mengenai laporan The New England Journal of Medicine, Farhash berkata, sumber artikel yang diambil dari NBC News dilaporkan oleh Maggie Fox dan Ian Wenger bertarikh Mac 13, 2018 adalah tidak relevan dalam konteks perdebatan Afif dalam hal ini.

“Merujuk kepada The New England Journal of Medicine, sebuah kedai gunting rambut di Amerika pernah dijadikan tempat mengagihkan ubat tekanan darah tinggi kepada pelanggan mereka sebagai alternatif lokasi kepada hospital,” katanya lagi.

Jumaat lalu, Mohamed Azmin mengumumkan kebenaran untuk kedai gunting rambut beroperasi dengan syarat mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan.

Turut dibenarkan beroperasi adalah sektor automotif, aeroangkasa, pembinaan, kesihatan tradisional berdaftar dan juga khidmat dobi menyambung semula operasi.

Kesemua perusahaan itu juga diwajibkan mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada kementeriannya. -MalaysiaGazette