Orang awam terutamanya pelajar universiti serta kolej dilihat beratur panjang bagi mendapatkan tiket bas untuk pulang ke destinasi masing-masing pada hari pertama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 MAC 2020.

Walaupun terdapat permintaan dari beberapa persatuan mahasiswa agar kerajaan membenarkan mereka yang masih di kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama untuk pulang ke kampung halaman masing-masing namun pihak
kerajaan buat sementara waktu ini terpaksa membuat keputusan agar semua mahasiswa terus kekal berada di lokasi sedia ada. Kita percaya ini bukanlah satu keputusan yang mudah dan memuaskan hati semua pihak, namun demi menjaga
keselamatan semua serta bagi memastikan kita memutuskan rantaian jangkitan, keputusan ini dilihat sangat wajar dan perlu dihormati.

Kita sedia maklum buat masa sekarang terdapat hampir 80,000 orang mahasiswa berada di kampus sejak PKP dilaksanakan. Ironinya walaupun bilangannya boleh dikatakan ramai namun setiap Universiti Awam (UA) dilihat begitu prihatin dan
menjaga kebajikan mereka sebaik yang mungkin. Segala keperluan asas mereka terutamanya makanan dan barangan keperluan harian dibekalkan secara percuma, malah aspek kesihatan serta keselamatan mereka juga terus dijaga dan dipantau oleh Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Keselamatan Universiti masing-masing.

Kita akui mahasiswa sudah mula rindukan masakan ibu di rumah serta kasih sayang dari ibu bapa serta kaum keluarga yang lain. Percayalah barisan pentadbir universiti juga sangat memahami senario ini serta cukup simpati dengan situasi dan nasib yang
dialami oleh kumpulan mahasiswa ini. Namun percayalah buat sementara waktu, inilah keputusan yang wajar dan terbaik yang kerajaan boleh lakukan. Dalam situasi getir berperang dengan virus Covid-19 ini, sudah pasti pihak kerajaan terpaksa
mengutamakan aspek kesihatan dan keselamatan setiap segmen anggota masyarakat termasuklah kelompok mahasiswa yang berada di kampus.

Sedarlah risiko pulang ke kampung pada ketika ini cukup tinggi dan mengundang bahaya terutamaya bila terdapat ramalan kemungkinan kita bakal berhadapan dengan ancaman gelombang ketiga serangan virus ini. Percayalah pergerakan pulang
mahasiswa secara beramai-ramai tetap boleh mengundang ancaman penularan semula wabak ini.

Hakikatnya kerajaan sedang berusaha keras untuk mengekang penularan wabak ini dengan cara memutuskan rantaian jangkitan, jadi apa jua
kemungkinan yang boleh mencetuskan kluster baru perlu di halang secara total. Jika ini tidak dilakukan, segala usaha kita melalui PKP fasa pertama dan kedua akan menjadi sia-sia sahaja.

Secara peribadi penulis berlapang dada boleh menerima cadangan pelbagai pihak untuk menggunakan pelbagai kaedah jika mahu menghantar pulang mahasiswa ini, namun tolonglah memahami situasi yang sedang berlaku dan sabarlah buat
sementara waktu ini. Simpan dahulu semua kaedah yang dicadangkan itu, beri ruang kepada pihak berkuasa terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan juga Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk meneliti segala data-data yang ada serta menilai perkembangan semasa penularan wabak ini dalam fasa ketiga sebelum membuat suatu keputusan yang terbaik bilakah
masa yang sesuai mahasiswa ini boleh dibenarkan pulang ke kampung.

Umat Islam bakal menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan sudah semestinya semua mahasiswa ini juga ingin berpuasa di kampung bersama kaum keluarga. Penulis yakin pihak kerajaan sedar perkara ini dan akan
membuat keputusan yang terbaik sebelum bulan Ramadan. Jadi sekali lagi, tolonglah sabar buat sementara waktu ini.

Sama-samalah kita berdoa agar situasi akan bertambah baik dan penularan wabak ini dapat dikawal terutamanya kes positif akan
terus berkurangan. Ini adalah masa untuk seluruh rakyat Malaysia termasuklah golongan mahasiswa menzahirkan solidariti dan berganding bahu bersama kerajaan untuk memerangi musuh yang tidak kelihatan ini.

Oleh: Noor Mohamad Shakil Hameed, Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

1 Komen

  1. Harap mahasiswa jgn hnya tau pentingkan diri…Fikir utk semua keluarga dan juga rakyat, silap buat keputusan boleh mewujudkan kluster covid19 yg baru…Bukan kita shj yg terpaksa bersabar, ramai lagi yg terpaksa bersabar dan ada segelintir yg lebih teruk smpai nak memberi makan kpd keluarga pun terbantut, terpaksa dlm kelaparan sedangkan mahasiswa hnya perlu bersabar dan keperluan2 yg lain semuanya ditangung oleh kjaan…Bersyukurlah kamu…

Comments are closed.