Ir. Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) mencadangkan lima aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa bosan pelajar universiti yang kekal tinggal di kampus akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka disarankan membaca serta memahami isi kandungan al-Quran termasuk membaca apa saja genre buku dari koleksi peribadi atau internet.

Ketua DPPM, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, para pelajar juga boleh melakukan senaman ringan Tabata bagi memastikan tubuh badan kekal sihat.

“Cadangan seterusnya ialah membuat panggilan video kepada ibu dan ayah di kampung setiap hari dan aktiviti yang mematuhi syariah,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan pelajar universiti awam dan swasta pulang ke kampung dalam tempoh PKP dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu berkata, pelajar perlu terus tinggal di asrama masing-masing sepanjang tempoh itu, dengan kebajikan makan minum ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Menurut Ir. Khairil Nizam, langkah kerajaan itu adalah untuk kebaikan semua pihak dan mereka perlu akur serta banyak bersabar ketika negara berdepan dengan penularan wabak pandemik Covid-19.

“Mahasiswa akan terus tinggal di kampus masing-masing. Demi keselamatan rakyat Malaysia, kami akur. Kepada para mahasiswa, terus bersabar dan  kuatkan semangat anda bagi menghadapi keadaan yang mencabar ini.

Beliau berharap wabak Covid-19 akan berlalu pergi secepat mungkin dan rakyat harus sabar serta reda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast