KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim pada dasarnya bersetuju dengan banyak langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani penularan wabak Covid-19.
Presiden PKR itu berkata, beliau juga bersetuju kerajaan melanjutkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha mengekang wabak itu yang menghantui seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan lebih telus dalam pelaksanaan itu, terutama berkaitan dengan masalah rakyat yang kehilangan dan kekurangan sumber pendapatan akibat PKP.
Pada masa sama, beliau menggesa kerajaan agar Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lalu dilakukan secara lebih telus.
“Walaupun saya banyak bersetuju dengan langkah kerajaan termasuk PKP dilanjutkannya, tetapi pelaksanaannya mesti telus terutama berkaitan dengan BPN, yang mana rakyat ingin tahu kedudukannya.
“Saya nyatakan perkara ini untuk memberikan gambaran kepada kerajaan bahawa langkah yang ada sekarang ini tidak memadai dan kerajaan perlu pastikan ketelusan penyampaiannya.
“Sekarang banyak bantahan didengar, kerana saluran bantuan itu masih lagi menerusi ketua-ketua politik tempatan yang belum tentu dilakukan secara telus dan sampai kepada kelompok yang paling miskin dan berhak terutama yang kelaparan, anak-anak dan warga emas,” katanya menerusi ‘Live Facebook’ beliau hari ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, sebab itu beliau gesa pemimpin kerajaan agar lebih bertanggungjawab dalam pengumuman yang dilakukan.
Ini tegas beliau, dalam tempoh PKP, pendapatan hasil minyak akan berkurangan, manakala kilang dan syarikat tidak lagi meneruskan pengeluaran ataupun keluaran secara terbatas kerana faktor keselamatan.
Beliau juga melahirkan kebimbangan dengan kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz apabila memberi unjuran pertumbuahn ekonomi negara yang bertentangan dengan dapatan daripada satu kajian.
Jelasnya, menteri berkenaan memberi keadaan yang sangat lunak untuk tahun 2021 iaitu unjuran 5.8 peratus, sedangkan dapatan dari satu kajian menunjukkan ekonomi negara akan menguncup kepada negatif 1 hingga 4.6 peratus.
“Penguncupan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi dan kehidupan rakyat terutama di kalangan penjaja, peniaga kecil serta industri kecil dan sederhana (IKS).
“Golongan ini semua akan hadapi kesan yang besar, yang saya kira dalam semua unjuran akan berlarutan untuk sehingga akhir tahun ini dan membawa ke tahun depan.
“Kenapa menteri sandar kepada satu dua kajian? Bagi saya sangat tidak munasabah kerana ia memberikan satu gambaran kita ini di tahap yang boleh membanggakan, sedangkan berlaku sebaliknya,” katanya.
Anwar turut menyentuh mengenai peratusan golongan yang bakal kehilangan pendapatan dengan menyatakan kajian Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan mereka yang bekerja sendiri akan mengalami kekurangan pendapatan sepanjang PKP ini sebanyak 53.4 peratus.
Katanya, 35 peratus dari jumlah itu akan kehilangan lebih 90 peratus pendapatan dan 46.6 peratus akan kehilangan pekerjaan sama sekali, maknanya akan menjadi penganggur. – MalaysiaGazette
















