Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa Perdana Menteri memanggil Sidang Khas Parlimen pada minggu ini bagi merangka pendekatan dwi-partisan dalam memerangi pandemik Covid-19.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Majlis Presiden PH berkata, kerajaan dan Kementerian Kewangan masih lagi belum menjawab persoalan paling iaitu langkah yang perlu diambil bagi melindungi pekerjaan.

Jelasnya, langkah-langkah yang diumum kerajaan sebelum ini lebih banyak menjurus kepada bantuan bagi mengurangkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Subsidi gaji, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengecualian sewa dan pemberian tunai adalah satu langkah jangka masa pendek.

“Negara kita perlu melakukan apa sahaja yang mungkin untuk menyelamatkan pekerjaan dan menyediakan peluang ekonomi bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam jangka masa terdekat.

“Ia juga memerlukan pelan jangka panjang untuk memulihkan dan memperbaharui ekonomi. Kepimpinan yang berkesan dan tegas semasa krisis sangat penting kerana ia mempengaruhi kehidupan ramai,” katanya.

Tambahnya, Kanada baharu sahaja mengadakan sidang Parlimen dengan pemimpin dari parti pemerintah dan pembangkang dan telah bersetuju dengan program subsidi gaji $73 bilion.

Hanya 32 daripada 338 Ahli Parlimen menghadiri persidangan itu kerana keperluan penjarakan sosial. Parlimen Kanada kini sedang mempertimbangkan perbahasan dengan pendekatan maya (virtual) untuk masa depan.

Malaysia katanya, boleh mengguna pakai aturan sedemikian.

“Kita memerlukan penyelesaian dwipartisan dan menunjukkan solidariti kepada rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran terbesar yang dihadapi negara.

Perdana Menteri perlu menunjukkan bahawa beliau bersedia untuk memudahkannya dengan mengadakan Sidang Khas Parlimen dengan segera,” tegasnya.- MalaysiaGazette