Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – Setakat hari ini, Malaysia telah menerima dana sebanyak AS$620 juta daripada Amerika Syarikat sejak usaha-usaha untuk memperoleh aset 1MDB dimulakan pada bulan Jun 2018.

Dana-dana tersebut adalah seperti berikut:

1. Sebanyak AS$57 juta daripada hasil penyelesaian bersama Red Granite Pictures (dikredit Mac 2019);
2 Sebanyak AS$137 juta daripada hasil jualan kepentingan Jho Low di dalam Hotel Park Lane (dikredit April 2019);
3. Sebanyak AS$126 juta daripada jualan kehakiman kapal mewah, Equanimity, oleh Mahkamah Admiralti Malaysia (hasil dikredit ke dalam akaun amanah pada Disember 2019); dan
4. Sebanyak AS$300 juta (dikredit April 2020) kepada Malaysia.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, pemulangan AS$300 juta yang terkini itu diperoleh daripada wang atau aset berkaitan 1MDB diperoleh semula daripada aset-aset yang telah dilupus hak oleh atau diserah balik secara sukarela kepada Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS).

”Bagi pihak Kerajaan, saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada Kedutaan AS di Kuala Lumpur, khususnya kepada Duta Kamala Shirin Lakhdir, yang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara dalam beberapa minggu terakhir ini.

”Semangat kolaboratif yang wujud dalam proses rundingan kami memastikan segala rintangan dapat diatasi dalam memudah cara
pemulangan wang tersebut kepada rakyat Malaysia.

”Kerajaan juga ingin mengiktiraf sokongan yang dipanjangkan daripada rakan sejawat kami di beberapa negara lain kerana telah membantu Malaysia dalam memperoleh semula aset berkaitan 1MDB ini.

”Usaha memperoleh semula aset berkaitan 1MDB masih berterusan dan Kementerian Kewangan akan terus memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada kesemua entiti penyiasat domestik dan antarabangsa dalam memastikan keberhasilan positif yang sama daripada usaha-usaha ini pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Harap gomen study jugak samada jual amik duit lg untung atau ambik alih aset lebih untung. Selalu2 value aset ni akan naik.

Comments are closed.