Pemilik Burgerboy, Mohd Kosim Ismail menunjukkan burger buatannya yang akan diserahkan kepada kakitangan MG di Ibu Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2020.

KUALA LUMPUR – Seorang usahawan burger meluahkan rasa kesal dan sedih dengan tindakan beberapa individu yang menggunakan jenama bisnesnya tanpa kebenaran untuk memberi sumbangan kepada petugas barisan hadapan.

Mohd. Kosim Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Adam, 29, berkata, individu terbabit mengambil kesempatan mencari jalan mudah menggunakan nama Burgerboy untuk kepentingan sendiri.

Beliau memberitahu, modus operandi itu terbongkar apabila dia menerima mesej pesanan ringkas daripada wakil petugas barisan hadapan yang memaklumkan burger jenamanya  sudah sampai di lokasi.

“Saya sebenarnya tidak pernah melantik ejen untuk membuat sumbangan dan semua urusan secara langsung dengan saya.

“Tiba-tiba saya terkejut apabila terima pesanan mesej ringkas yang mengucap terima kasih walhal saya tidak menyediakan burger jenama Burgerboy.

“Malah saya difahamkan jumlah sumbangan yang dikutip individu terbabit tidak selari dengan sumbangan burger yang diberikan kepada petugas barisan hadapan. Bagi saya niat mereka mungkin baik namun cara menggunakan jenama burger saya tanpa kebenaran amat menyedihkan,” katanya yang berkunjung ke pejabat MalaysiaGazette di sini hari.

Temubual bersama Pemilik Burgerboy, Mohd Kosim Ismail di Ibu Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2020.

Dia hadir untuk menyampaikan sumbangan burger Burgerboy buat kali kedua selain roti jalan dan pemanis mulut bersama Eiscya Isa yang merupakan pengeluar minyak urut moden.

Adam mula mengecapi populariti apabila dia aktif memberi sumbangan burger kepada petugas barisan hadapan hasil sumbangan rakan-rakannya di laman media sosial.

Dia mula menjual burger menerusi food truck sejak 13 tahun lalu dan kini mampu menghasilkan sebanyak 120 jenis burger.

Jenama Burgerboy diakui keenakannya apabila dia menggunakan 10 jenis sos untuk menambah perisa burger selain penggunaan daging dan roti berkualiti tinggi.

Mengulas lanjut, Adam menasihati orang ramai agar berhati-hati membuat sumbangan dengan menyiasat latar belakang individu yang mewakilinya terlebih dahulu.

Malah jelas beliau, menu burgernya juga kini diletakkan pelekat jenama dan nombor telefon Burgerboy sebagai penambahbaikan ciri-ciri keselamatan kepada pelanggan.

“Sekiranya orang ramai terutama petugas barisan hadapan menerima sumbangan burger yang didakwa dari Burgernoy namun tidak miliki pelekat pada bungkusannya, itu menunjukkan mereka sudah ditipu,” katanya.

Pemilik Burgerboy, Mohd Kosim Ismail (tengah) menyerahkan sumbangan makanan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Gazette, Noraini Abd Razak (dua kanan) di Ibu Pejabat Malaysia Gazette, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 APRIL 2020.

Sementara itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Adam berkata, dia hanya menjalankan perniagaan di rumah dengan membuat perkhidmatan penghantaran di Kota Damansara.

Walaupun mendapat pendapatan tidak seberapa, lelaki kelahiran Kelantan itu berkata, bisnesnya perlu beroperasi untuk menggajikan tiga orang pekerja.

Namun dia tetap melahirkan rasa syukur kerana sumbangan orang ramai yang bertalu-talu membolehkan perniagaan bertahan sepanjang PKP ini.

“Selepas PKP disambung lagi untuk fasa ketiga, saya mungkin berdepan masalah untuk berniaga pada Ramadan nanti kerana waktu operasi yang terhad bermula 4 petang hingga 7 petang untuk membuat penghantaran burger,” katanya. – MalaysiaGazette