KUALA LUMPUR – Ketika parti lain sibuk berpolitik, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengambil inisiatif melakukan kebajikan sosial membantu petugas barisan hadapan yang berjuang memerangi penularan wabak Covid-19.
Memikirkan petugas kesihatan berdepan dengan masalah kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE), Ketua Putra Bahagian Larut, Perak, Ahmad Hasbullah Alias mengerahkan anak buahnya untuk menyiapkan sebahagian daripada kelengkapan itu.
Menurut beliau, proses membuat PPE itu dilakukan beberapa ahli Putra Bahagian berkenaan di rumah masing-masing sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PPK) dan penjarakan sosial.
“Kerja menjahitkan dimulakan sejak 9 April lalu dan disambung pada hari berikutnya.
“Setakat ini, kita dapat menyiapkan sebanyak 520 sarung kaki PPE yang siap dijahit untuk kegunaan petugas kesihatan di barisan hadapan,” katanya kepada Malaysia Gazette, hari ini.
Kata Ahmad Hasbullah yang merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, set PPE itu kemudian diserahkan kepada Hospital Daerah Taiping untuk kegunaan mereka dalam menjalani tugas merawat pesakit Covid-19.
Menurut beliau, Putra Bahagian Larut menubuhkan pasukan khidmat sukarelawan di kalangan ahli parti itu sebagai usaha untuk bersama dengan pihak lain menyumbang tenaga dan bakti membantu petugas barisan hadapan negara.
“Kita sedar, kakitangan kesihatan sedang berjuang dengan virus yang amat bahaya. Kita merasa terpanggil untuk membantu mereka dengan menyediakan set PPE.
“Saya selaku Ketua Putra Bahagian Larut bersama anak buah (ahli Putra) akan meneruskan bantuan khidmat sukarela begini demi negara dan rakyat.
“Orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pun boleh melakukan perkara sama jika berkelapangan. Petugas barisan hadapan ini amat memerlukan sokongan dan bantuan dari kita,” katanya. – MalaysiaGazette