Najmuddin merupakan penyerang muda negara pada kejohanan Piala AFC Bawah 16 yang berlangsung dua tahun lalu dan turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol.

KUALA LUMPUR – Penyerang muda Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal mengakui dia sudah tidak sabar untuk kembali ke padang selepas hampir tujuh bulan berehat panjang.

Muhammad Najmudin Akmal atau mesra dipanggil Din memberitahu, tempoh rehat yang lama itu membuatkan ketagihannya melonjak tinggi untuk turun berlatih.

Pemain kelahiran Selangor berusia 17 tahun ini berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, dia hanya berlatih ringan secara sendirian di rumah sambil dipantau oleh jurulatih.

Malah katanya, rawatan pemulihan yang diikuti setiap hari di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil sebelum ini tidak dapat diteruskan sejak PKP kerana dia kembali menetap di rumahnya di Rawang.

“Kalau boleh saya hendak awal kembali berlatih sebab sudah lama tidak main bola. Saya bukannya hendak tergesa-gesa tapi rasanya boleh mula berlatih sebab cukup enam bulan lebih berehat.

“Kalau tunggu lepas raya, sudah sembilan bulan berehat dan otot sudah semakin kuat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Najmudin bercita-cita menjadi pemain profesional pada masa akan datang.

Najmudin terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) pada September lalu ketika beraksi dalam Piala Presiden bersama AMD.

Bekas Pengarah Teknikal AMD, Lim Teong Kim yang kecewa dengan insiden itu menyifatkan Najmuddin antara penyerang remaja berpotensi untuk pergi jauh seperti seorang lagi pemain, Luqman Hakim Shamsuddin.

Dia dan Luqman merupakan gandingan penyerang pada kejohanan Piala AFC Bawah 16 yang berlangsung dua tahun lalu dan turut berjaya mencatat nama sebagai penjaring gol.

Najmudin menambah, sepanjang PKP ini, dia tetap meneruskan latihan ringan bagi menguatkan otot kerana perlu melepasi ujian kecergasan selepas Hari Raya Aidilfitri sebelum disahkan pulih sepenuhnya.

“Memang rindu untuk kembali ke AMD kerana sejak proses pemulihan ini saya menumpang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

“Namun sokongan kuat jurulatih saya di AMD, Raja Azlan Shah Raja Sho’ib yang sering bertanya khabar selain rakan-rakan mampu mengubat kerinduan itu,” kata anak ketiga daripada empat beradik.

Mengulas tarikh Sijil Peperiksaan Malaysia yang ditangguhkan pada suku pertama tahun tahun depan, Najmudin mengakui ia satu tempoh yang panjang untuk diharungi kelak.

Namun dia yang meminati pemain muda Paris Saint-Germain (PSG) Kylian Mbappe akur dengan arahan kerajaan yang disifatnya turut memberi kelebihan kerana mempunyai waktu yang lama untuk belajar.

“Saya tetap akan memberi fokus kepada SPM kerana pendidikan dan sukan perlu seiring malah saya mahu menyambung pelajaran hingga ke menara gading,” katanya yang bercita-cita menjadi pemain bola sepak profesioanal dan beraksi di Liga Perdana Thailand bersama Buriram United. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast