KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mendesak Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) untuk mengetepikan semua yuran kepada anggota-anggotanya.

Presidennya, Datuk Mohd Khalid Harun berkata, sejak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Covid-19 sebagai wabak, sekatan perjalanan telah dikenakan di seluruh dunia.

Malah, pelbagai acara besar dibatalkan dan operasi perniagaan juga terhenti.

Lantaran itu, beliau mahu IATA memansuhkan yuran keahlian 2021 dan yuran bulanan 2020 (Januari – Disember 2020).

Mohd Khalid juga mahu penyerahan akaun audit 2019 hingga hingga Disember 2020 dilanjutkan.

”Oleh kerana IATA telah meramalkan bahawa 50% daripada semua perniagaan syarikat penerbangan akan terjejas tahun ini di seluruh dunia, kami percaya bahawa IATA dapat melakukan sesuatu untuk membantu anggota kami.

”Memandangkan sekarang adalah keadaan yang luar biasa, kami harapkan IATA juga akan mengambil langkah luar biasa dengan mengetepikan yuran yang dikenakan ke atas ahli-ahli kami.

“Langkah ini akan membantu ahli-ahli kami yang selama ini menyokong IATA,” katanya dalam satu kenyataan di sini sambil mendesak pihak berkepentingan dalam industri ini untuk bekerjasama semasa berdepan dengan krisis terbesar dalam sejarah pelancongan.

Mohd Khalid turut memberi amaran, jika IATA enggan memberi pertimbangan, badan itu mungkin kehilangan lebih banyak perniagaan kerana MATA akan menasihati ahli-ahlinya untuk tidak memperbaharui keahlian mereka. – MalaysiaGazette