Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peruntukan RM10 juta dari kerajaan Persekutuan adalah untuk membantu golongan yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Beliau menyatakan, peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu perlu diuruskan dengan segera.

Serentak itu, kerajaan negeri memikirkan dua kaedah terbaik untuk menyampaikan bantuan berkenaan, pertamanya, mesti disampaikan kepada rakyat yang memerlukan, tanpa mengira warna politik mereka.

“Keduanya, kaedah penyampaian disampaikan mesti berkesan, perlu segera dalam suasana batasan pergerakan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terhad ini.

“Justeru, kerajaan negeri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Covid-19 untuk diagihkan kepada rakyat yang sangat terjejas dan suasana semasa wabak ini pula memerlukan bantuan disampaikan dengan kadar segera dan tepat pada sasarannya,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau menjawab kritikan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mendakwa agihan bantuan RM10 juta yang sepatutnya diberikan kepada wakil rakyat bukan kerajaan, sebagai tidak adil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) bukan kerajaan di Terengganu selepas Pas merampasnya dari parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei 2018.

Menurut Dr. Ahmad Samsuri, beliau menghormati Ahmad sebagai mantan Menteri Besar Terengganu, rakan pentas politik.

Katanya, beliau juga terbuka menerima apa jua pandangan dan kritikan, walaupun sebenarnya merasakan Ahmad boleh sahaja menghubunginya atau bertemu untuk memberikan pandangan atau cadangan.

Tentunya, kata beliau, dalam hal itu, mereka perlu memahami apa yang berlaku.

Ujar beliau, disebabkan itu keputusan mengagihkan bantuan menerusi agensi rasmi kerajaan iaitu Pusat Khidmat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang paling hampir dengan rakyat dan bertanggungjawab secara langsung terhadap kebajikan mereka telah dibuat.

“MPKK akan menilai senarai mereka yang layak dengan merujuk pelbagai data dari agensi kerajaan negeri dan persekutuan, di samping penentuan keadaan sebenar fizikal di bawah.

“Arahan khusus diberikan pada MPKK supaya berlaku adil, menyampaikan bantuan kepada yang selayaknya tanpa mengira warna politik penerima.

“Bagaimanapun, memahami keperluan dan tugasan yang perlu dijalankan oleh ADUN, kerajaan negeri turut menyalurkan sebahagian bantuan Covid-19 sejumlah RM45,000 kepada ADUN BN di Terengganu untuk diuruskan,” katanya.

Sekali imbas, kata Dr. Ahmad Samsuri, cara paling ideal ialah bantuan diberikan secara sama rata kepada semua ADUN.

Namun, katanya, terdapat ‘missing link’ antara ADUN BN dengan MPKK pada waktu itu kerana model jawatankuasa komuniti kampung yang sedia ada ketika ini yang dibina sebelum pembentukan muafakat politik berlaku.

“Saya yakin sekiranya berlaku penambahbaikan pada komposisi MPKK ini dengan mengambil kira wakil yang pelbagai dalam masyarakat dan muafakat politik baharu di peringkat nasional, maka keadaan baharu lebih inklusif ini boleh diurus supaya menjadi lebih baik dan harmoni di masa depan.

“Insya-Allah dengan pendekatan yang cermat, dan penjelasan yang menyeluruh kepada rakyat dan pimpinan parti-parti politik, kita mampu untuk mencapainya di negeri Terengganu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast