Ronald Tai
Pengarah Jualan NanoCity Holdings Berhad, Ronald Tai bercakap kepada MalaysiaGazette di ibu pejabatnya di Bukit Kemuning, Shah Alam.

SHAH ALAM – Pandemik Covid-19 atau sebelum ini dikenali sebagai koronavirus 2019-2020 yang mula dikesan pada pertengahan Disember 2019 di bandaraya Wuhan, Hubei China sehingga kini masih belum ada sebarang vaksin atau penawarnya.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun saintis Malaysia mahupun dari seluruh dunia masih belum menemui penawar kepada wabak yang membawa maut ini.

Bagaimanapun banyak pihak termasuk syarikat farmaseutikal dan universiti perubatan khususnya di Malaysia masih tidak berputus asa membantu KKM dalam membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin Covid-19.

Namun masih ramai tidak mengetahui bahawa pesakit Covid-19 masih perlu menjalani rawatan lanjut kerana virus itu boleh merosakkan organ dalaman seperti paru-paru, jantung, ginjal dan sebagainya.

Rawatan menggunakan teknologi Nano Organoterapi salah satu harapan kepada pesakit Covid-19 untuk meningkatkan imuniti badan seseorang sebelum virus itu merosakkan organ dalaman.

Teknologi Nano Organoterapi yang dibangunkan oleh syarikat Nano City Holdings Berhad (Nano City) bukannya ubat rawatan penyakit Covid-19 tetapi ia menawarkan sasaran peningkatan sistem imun, organ dan kelenjar.

Menurut Pengarah Jualannya, Ronald Tai, teknologi itu mampu menghasilkan nano-peptida penting, substrat dan enzim yang sangat spesifik untuk organ dan kelenjar yang ditujukan.

“Nano Organotherapy adalah nano-peptida, substrat dan enzim yang berasal dari organ dan kelenjar arnab. Peptida yang merangsang imun berasal dari timus, limpa dan leukosit. Peptida yang menyokong berasal dari paru-paru, hati, buah pinggang, jantung, otak dan organ lain,” katanya kepada MalaysiaGazette di ibu pejabatnya di Bukit Kemuning, hari ini.

Ronald Tai
Pengarah Jualan NanoCity Holdings Berhad, Ronald Tai (tengah) menunjukkan salah satu produk nano organoterapi di ibu pejabatnya di Bukit Kemuning, Shah Alam.

Menurut Ronald, nano peptida spesifik organ itu selamat digunakan kerana ia berasal dari sumber semula jadi tanpa unsur toksik dalam konsentrasi dan ketiadaan bakteria atau virus (virus terkecil – 17nm) kerana saiz nanonya.

“Terapi ini menawarkan pendekatan yang jauh berbeza dalam menyokong imuniti dan organ pesakit melalui laluan regeneratif langsung. Nano-peptida ini juga boleh digunakan bersama dengan ubat-ubatan,” katanya.

Katanya, beberapa negara telah mengumumkan untuk menghasilkan vaksin dan ubat-ubatan yang mampu melawan Covid-19 dan berharap bahawa wabak itu dapat dihapuskan tidak lama lagi.

“Tetapi sehingga kini, tidak ada rawatan khusus yang disyorkan untuk jangkitan Covid-19 kecuali rawatan sokongan yang teliti.

“Menurut laporan dari United Kingdom, pesakit Covid-19 yang pulih didapati mempunyai kesan sampingan kerosakan paru-paru yang memakan masa sehingga 15 tahun untuk sembuh.

“Ini bermakna sejumlah besar mangsa yang terselamat daripada Covid-19 memerlukan jangka masa panjang untuk pulih sepenuhnya akibat organ yang terjejas,” katanya.

Nano Organoterapi
Nano Organoterapi

Katanya lagi, Covid-19 bukan yang pertama dan terakhir berlaku dalam sejarah Malaysia, sebaliknya pendekatan merangsang imun dan pemulihan organ adalah wajar dilakukan kerana bertujuan untuk mengaktifkan timus dan menyembuhkan organ lain yang dirosakkan oleh virus.

“Oleh itu, Nano City mencadangkan bahawa rangsangan pengukuhan dan pemulihan
organ yang terjejas seharusnya menjadi keutamaan dalam memerangi wabak Covid-19 dan penyakitnya yang diakibatkan olehnya.

“Ianya merupakan misi utama NanoCity untuk mempromosi ‘Sihat Malaysia’ melalui
penyembuhan secara semula jadi dengan menguatkan sistem imunisasi dan pemulihan
organ,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast