Keadaan di wad pesakit- pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 APRIL 2020.

Oleh : Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani

Jumlah kematian di seluruh dunia akibat Covid-19 sudah hampir mencecah 120,000 orang dengan di Malaysia dapat dilihat angka kematian masih di bawah aras 100 orang. Melalui pemerhatian kepada angka-angka ini, jumlah kematian di seluruh dunia dan negara kita, lebih mengikut trend ‘power law’ dan bukan ‘exponential’. Ini kerana jika ‘exponential’ berlaku, maka angka kematian yang dicatat boleh berganda dengan mendadak dan akibatnya jumlah kematian akan lebih besar dari yang dilaporkan pada hari ini. Sehingga kini kita harus menyedari bahawa saintis
belum menemui vaksin khas untuk merawat pesakit Covid-19, justeru cara yang paling efektif untuk mengelakkan jangkitan ini bertambah adalah dengan memutuskan rantaian penularan wabak tersebut dengan salah satu usahanya menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran melalui Surah Asy-Syuura ayat 30 yang bermaksud “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah
memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Ayat tersebut dengan tegas memberi ingatan sesuatu natijah buruk yang dialami oleh manusia pada hakikatnya berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab manusia itu sendiri seperti melakukan dosa atau maksiat dan terlibat dalam sesuatu
kezaliman. Sikap tidak bertanggungjawab ini berpunca daripada kegagalan mengawal dan menguasai nafsu amarah, gopoh, tidak berhati-hati dan membuat sesuatu tindakan secara sambil lewa sehingga menghalang kesejahteraan dan kebaikan yang sepatutnya dimiliki oleh manusia.

Dalam konteks semasa, tidak salah untuk kita menjadikan ayat ini sebagai satu ingatan agar setiap daripada kita perlulah bertanggungjawab terhadap diri sendiri, kepada jiran tetangga, kepada masyarakat dan kepada negara dalam usaha
bersama memutuskan rantaian penularan wabak ini. Di sebalik ujian Covid-19 ini, ada rahmah besar daripada Allah SWT berikan kepada kita iaitu menerusi rahmahNya, jumlah angka kematian akibat Covid-19 adalah mengikut trend ‘power law’ dan bukannya ‘exponential’.

Di Wuhan, China di mana wabak ini mula tersebar sudah mula membuka sempadannya kerana keadaan di sana bertambah baik. Bagaimana ini boleh berlaku jika bukan kerana rahmah Allah SWT? Secara logiknya tanpa vaksin, setiap kita terdedah kepada jangkitan ini dan boleh dijangkiti dengan mudah dan
mengakibatkan trend kematian ‘exponential’. Allah SWT sebaliknya membekalkan sebahagian daripada kita imuniti (‘anti-body’) dan tidak dijangkiti Covid-19 walaupun terdedah kepadanya. Malahan kebelakangan ini kita juga membaca laporan mengenai pencemaran udara dan sungai semakin berkurangan akibat wabak ini kerana kurangnya aktiviti manusia yang membinasakan bumi. Bagi penulis keadaan yang berlaku seolah-olah bumi kini melalui suatu proses pembersihan semulajadi setelah tertekannya butang ‘reset’. 

Sesungguhnya Allah SWT sangat menyayangi manusia dengan memberi amaran demi amaran agar kembali ke jalan yang diredhaiNya, di samping sentiasa membuka pintu taubat. Yakinilah bahawa Allah SWT tidak akan menurunkan sesuatu ujian atau musibah kecuali di sana terdapat padanya juga kemaslahatan yang mengiringinya. Mungkin sahaja kemaslahatan itu akan diperolehi di dunia atau mungkin juga di akhirat. Moga dengan ujian ini, ia akan memancarkan kepada kita dengan sifat reda, sabar, istiqamah, tawakkal, melakukan kebajikan dan membantu insan yang memerlukan.

Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani
Dr. Mohamed Ridza Wahiddin

 

 

 

 

 

Profesor Dr. Mohamed Ridza Wahiddin merupakan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Profesor Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast