Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun hadir bagi memberikan sumbangan dan meninjau keadaan penghuni pusat jagaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Fasa 3 di Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al-Fattah, Semenyih, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 17 APRIL 2020.

SEMENYIH – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun hairan dengan dakwaan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh yang mendakwa seolah-olah ada yang tidak kena dengan bantuan bakul makanan kementerian itu.

Menurutnya, kementeriannya telah mengagihkan sebanyak 260,000 bakul makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Pengagihan itu telah memberi manfaat kepada hampir satu juta rakyat di negara ini.

Bantuan itu disalurkan melalui pejabat daerah (PD) kerana pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak terdapat di semua kawasan Parlimen, katanya.

“Saya nampak dia (Hannah) kata kosong (bakul makanan) di Seremban, tapi saya baru pergi sana untuk agih bakul makanan di Rasah. Kita agih melalui pejabat daerah sebab pejabat JKM tidak ada di semua Parlimen. Hanya di 108 daerah seluruh negara dan pengagihan ini kita buat PD masing-masing.

“Tunggu kenyataan yang akan kementerian keluarkan. Saya pernah turun ke Seremban untuk agih di Rasah kerana JKM terima aduan daripada pelbagai sumber NGO, pemimpin masyarakat dan individu dan Talian Kasih,” katanya kepada media selepas melawat Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Al Fattah di sini hari ini.

Rina berkata demikian mengulas dakwaan Hannah yang juga wakil rakyat DAP mengenai 1,000 bakul makanan yang dijanjikan oleh kerajaan untuk diagihkan kepada rakyat melalui JKM ke kawasan Parlimen tidak berjalan seperti yang diharapkan.

Hannah mendakwa, sekurang-kurangnya 54 kawasan Parlimen pembangkang yang masih belum menerima sebarang bantuan tersebut.

Sementara itu, dalam lawatan tersebut, Rina turut menyampaikan bantuan topeng muka, cecair pembasmi kuman, barangan keperluan diri, dua unit kerusi roda, alat tekanan darah tinggi dan peti pertolongan cemas kepada pertubuhan yang berdaftar di bawah JKM itu.

Pertubuhan tersebut turut menerima inisiatif geran rangsum sebanyak RM8,200 bagi sepanjang PKP ini yang memberi manfaat kepada 12 penghuni. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Hannah ooo hannah..
    Dah dpt 100k Kan.. simpan ke? Belanja la penyokong2 kau..
    Kenapa..parti ko dah kontang ke?
    Mcm2 inisiatif day kerajaan beri utk rakyat..yang masih x puas hati ialah geng2 Ph..
    Mungkin dah masa naikkan pangkat ke PH’D’..
    Ada SJ yg tak betul..apa yg Ph buat utk pengundi2 kamu..zero..

Comments are closed.