KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegur tindakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga apabila makan secara beramai-ramai.
Beliau berkata, perbuatan Dr. Noor Azmi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semanggol, Razman Zakaria menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai ketika wabak penularan Covid-19 belum pulih sepenuhnya.
“PKP dilanjutkan ke fasa ketiga, barisan depan perubatan dan Kementerian Kesihatan menggadai nyawa menangani wabak Covid-19, polis dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pula menasihati rakyat supaya duduk di rumah dan kerajaan membatalkan Bazar Ramadan.
“Tetapi Timbalan Menteri Kesihatan ke sana ke sini membawa rombongan untuk lawatan bukan kritikal. Mereka makan berjemaah, berkongsi lauk, tidak mengamalkan penjarakan sosial. Ini meningkatkan risiko jangkitan,” katanya menerusi ciapan Twitternya hari ini.
Beliau mengulas mengenai tindakan Dr. Noor Azmi membawa rombongannya yang turut diiringi Razman melakukan lawatan ke Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak.
Saifuddin turut memuatnaik beberapa keping gambar aktiviti Timbalan Menteri itu dengan rombongannya, yang turut bersalam dengan kakitangan Maahad Tahfiz.
Menurut bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, perbuatan berkenaan sangat tidak bertanggungjawab dan menunjukkan contoh yang teruk kepada rakyat.
Namun, beliau berharap tidak berlaku kluster baharu di Maahad Tahfiz itu yang berpunca dari lawatan rombongan Dr. Noor Azmi. – MalaysiaGazette
Kalau ada jangkitan kita namakan ‘Kluster Dr. Azmi Tim. Menteri cap ayam’
Setuju