Dr. Adham Baba

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menurunkan kuasa kepada ketua jabatannya untuk menilai secara menyeluruh proses pemberian dan syarat kelayakan elaun khas kepada pegawai dan anggota kesihatan tertentu yang lain.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, langkah itu diambil berikutan terdapat pandangan agar KKM meneliti semula pelaksanaan pemberian elaun khas petugas kesihatan dalam menangani dan membendung penularan wabak Covid-19.

“Ini kerana pada masa ini, terdapat perbezaan dari segi penentuan pegawai yang layak menerima elaun khas ini di peringkat fasiliti kesihatan di seluruh negara.

“KKM amat berharap agar perkara ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin demi memastikan KKM terus fokus, pegawai dan anggota kesihatan kekal teguh serta saling menyokong antara satu sama lain dalam usaha menangani dan membendung penularan wabak Covid-19,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah beliau, langkah penambahbaikan tersebut akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan petugas perubatan yang lain seabgai satu pengiktirafan terhadap mereka di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

Perkara itu diumumkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada Februari lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini Menteri Kewangan diminta meneliti semula pemberian elaun khas yang ketika ini hanya diterima oleh para petugas barisan hadapan sahaja.

Keputusan itu dilihat tidak adil memandangkan langkah pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19 juga membabitkan seluruh jentera Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast