KUALA LUMPUR – Seorang aktivis politik membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini, petang ini, berikutan tular satu akaun Facebook menggunakan nama dan gambar beliau di laman media sosial.
Mohd Rafi Awg Kechik, 50-an, membuat laporan polis pada jam 4.51 petang ini, kerana akaun palsu yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab itu giat memburuk-burukkan namanya di ruang komen Facebook pemimpin kerajaan Terengganu dan parti Pas.
“Semalam, kira-kira jam 9 malam, ketika saya berada di rumah, saya telah dimaklumkan oleh anak bahawa terdapat satu akaun Facebook menggunakan nama saya iaitu Rafi Awg Kechik dan menggunakan gambar saya bersongkok serta berbaju kuning.
“Akaun tersebut digunakan untuk membalas komen dengan menyerang kepimpinan kerajaan negeri Terengganu dan parti Pas.
“Akaun Facebook ini adalah palsu dan dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan bertujuan untuk memalukan saya dan menjadikan saya mangsa seolah saya pemilik akaun tersebut,” katanya kepada media, hari ini.
Menurut Mohd Rafi, beliau telah menjelaskan kepada rakan akaun Facebooknya bahawa ketika ini tersebar dan tular akaun palsu yang menggunakan nama dan gambar beliau.
Katanya, beliau sudah memaklumkan pemilik akaun Facebook Rafi Awng Kechik yang memaparkan gambarnya bersongkok adalah yang direka oleh tangan jahat untuk orang lain menyerang serta menghinanya.
Jelasnya, beliau datang ke balai polis membuat laporan untuk membersihkan namanya dan menafikan akaun tersebut kepunyaannya.
“Report ini juga untuk keselamatan saya dikemudian hari dan bagi rujukan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi mengambil tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette