Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada perasmian Menara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Menara FINAS, Damansara Damai, Sungai Buloh, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 OGOS 2026

PETALING JAYA –  Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) perlu memastikan urusan dengan penggiat industri dilakukan dengan lebih cepat, jelas dan telus, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kuasa yang diberikan kepada FINAS menerusi pindaan undang-undang bukan sekadar untuk menambah bidang tugas agensi itu, sebaliknya perlu digunakan bagi membangunkan industri dan menjaga kepentingan penggiatnya.

“Pindaan undang-undang bukanlah matlamat akhir. Yang lebih utama ialah bagaimana kuasa dan tanggungjawab tersebut digunakan untuk membina industri yang lebih teratur.

”Ini juga melindungi kepentingan pekerja serta memastikan FINAS kekal relevan dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Menara FINAS Damansara yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Damansara Damai di sini hari ini.

Tambah beliau, perubahan pesat dalam industri kandungan termasuk kemunculan platform digital dan perkhidmatan penstriman memerlukan FINAS turut bergerak mengikut perkembangan tersebut.

Katanya, pindaan ketiga Akta FINAS yang diluluskan Parlimen tahun lalu antara lain memperluas skop agensi berkenaan supaya lebih sesuai dengan perubahan cara kandungan dihasilkan, diedarkan dan ditonton.

Dalam pada itu, beliau mahu urusan pelesenan dan permohonan dana dipermudah, selain maklum balas kepada pemain industri diberikan dalam tempoh yang lebih pantas.

“Saya menetapkan tiga jangkaan operasi kepada FINAS, iaitu mempermudah urusan industri melalui proses pelesenan, dana dan maklum balas yang lebih pantas, jelas serta telus.

“Kedua, memanfaatkan sepenuhnya kemudahan di Menara FINAS dan Kompleks Studio Merdeka dan ketiga, membangunkan ekosistem yang mampan,” katanya.

Fahmi berkata, kebajikan tenaga kerja dalam industri kreatif juga tidak boleh dipinggirkan ketika industri berkembang.

Menurutnya, kerajaan mahu tenaga kreatif yang profesional, kompeten dan dilindungi, termasuk melalui kontrak standard industri, pembayaran yang adil, perlindungan sosial serta peluang pendidikan berterusan.

Beliau berkata, proses pelesenan juga akan dipermudah dan didigitalkan tanpa menjejaskan kebajikan pekerja.

Katanya, ukuran kejayaan pelbagai dana yang disediakan kerajaan tidak seharusnya hanya berdasarkan jumlah peruntukan yang disalurkan.

“Ukuran kejayaan dana ini mestilah pada karya yang siap, bakat yang berkembang dan pasaran yang berjaya ditembusi,” ujarnya.

Fahmi turut mengingatkan FINAS supaya kemudahan baharu di Menara FINAS dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan industri filem, televisyen dan kandungan OTT negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here