DENGAN jumlah kes mencecah sehingga dua juta orang di seluruh dunia, dan kematian melebihi seratus ribu orang, nyatalah bahawa dunia sedang menghadapi peperangan aneh,
yang tidak pernah dialami oleh masyarakat global sebelum ini. Virus covid menyerang tanpa mengira sesiapa, kaya atau miskin, kaum, agama atau sempadan negara. Sehingga ke pelosok kampung terpencil pun ia menjajah. Malapetaka ini memberi impak yang sangat besar kepada dunia perniagaan. Di Malaysia, seperti yang dianggarkan oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) akan terdapat lebih 2.4 juta rakyat Malaysia
kehilangan pekerjaan disebabkan ketidakupayaan syarikat majikan untuk membayar gaji, dan banyak syarikat yang terpaksa menamatkan perniagaan.
Langkah proaktif kerajaan Malaysia dalam melawan impak Covid-19 dengan memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi mendapat pujian di mata dunia. Selain daripada memfokuskan kepada golongan B40 agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup yang asas, kerajaan juga mengambil inisiatif membantu para peniaga dalam mengurangkan bebanan kewangan yag meruncing yang boleh menyebabkan lebih ramai orang kehilangan pekerjaan. Tindakan kerajaan ini menunjukkan bahawa ia sangat prihatin terhadap masalah-masalah meruncing yang dihadapi oleh pemain industri dan diharapkan dapat serba sedikit meredakan tekanan yang dialami oleh mereka.
Covid 19 menghentam golongan entreprenur seperti tsunami. Meremukkan semua usaha bertahun-tahun yang telah dilakukan selama ini untuk membina perniagaan. Kini, isu terbesar adalah bagaimana untuk membayar gaji pekerja, membayar sewa dan utiliti. Tiada lagi perbincangan mengenai bagaimana meningkatkan inovasi atau mengembangkan perniagaan. Perkara paling asas pun sudah tidak dapat ditangani. Namun tidak semuanya pahit bagi teknoprenur. Teknoprenur iaitu usahawan yang menjalankan perniagaan bersandarkan teknologi yang
dimiliki. Hakikatnya, golongan teknoprenur amat diperlukan oleh negara ketika ini, dan juga ketika pasca Covid-19. Berteraskan teknologi dan hasil penyelidikan, perkhidmatan atau produk yang dihasilkan oleh teknoprenur adalah amat diperlukan bagi membantu kerajaan dalam pelbagai sektor bagi memerangi dan menghadapi kesan Covid-19. Ketika satu demi satu perniagaan berisiko untuk ditamatkan, ketika inilah usahawan teknoprenur boleh menonjolkan diri seterusnya mengukuhkan perniagaan.
Usahawan teknoprenur mempunyai banyak kelebihan berbanding pesaing yang tidak berasaskan kepada teknologi. Kelebihan ini menjadi asset yang paling besar dalam mengekalkan dan menstabilkan perniagaan. Jika sebelum ini dikatakan apa produk
sekalipun akan dapat dijual dengan pemasaran dan penjenamaan yang betul, tapi dalam waktu meruncing ini produk yang mempunyai elemen inovasi dan teknologi akan kehadapan dan lebih mudah diterima oleh pengguna. Justeru itu, bencana Covid-19 ini akan memberi kelebihan kepada usahawan teknoprenur
dalam tiga perkara iaitu peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan produk berasaskan sains dan teknologi, penggunaan IoT, dan melaksanakan inovasi berasaskan
ekonomik (frugal innovation).
Pertamanya, masyarakat dunia menjadi lebih prihatin kepada produk yang berasaskan sains dan teknologi. Ketika ini seluruh dunia memberi tumpuan terhadap perkembangan teknologi yang boleh membantu mencipta vaksin kepada virus Covid 19. Keperluan terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) menyebabkan semua institusi pendidikan dan teknologi menggembleng tenaga menyediakan perkakasan PPE untuk para pejuang barisan hadapan. Perkara ini membuka mata masyarakat tentang peranan sains dan teknologi yang amat diperlukan ketika ini. Di masa hadapan, masyarakat akan lebih menghargai produk yang berelemen sains dan teknologi. Kerajaan melalui agensi-agensi juga akan membuka lebih banyak peluang kepada teknopreuner dengan menyediakan geran-geran dan pelbagai insentif. Peluang-peluang ini sudah pasti tertumpu kepada syarikat yang mempunyai teknologi dalam pelbagai bidang yang boleh membantu seluruh lapisan masyarakat.
Elemen kedua ialah produktiviti syarikat akan meningkat dengan penggunaan teknologi IoT.
Teknopreuner adalah golongan usahawan yang mesra teknologi, dan tidak canggung dengan perubahan teknologi yang perlu diadaptasi dalam setiap aspek perniagaan. Melalui IoT, pengurusan sesebuah syarikat akan ditambahbaik dengan kemampuan melakukan pelbagai kerja atau membuat keputusan secara atas talian walau di mana sahaja dan bila-bila masa. Mesyuarat, kerja-kerja pemasaran dan transaksi yang dilaksanakan secara atas talian akan memberi kebaikan terutamanya dari segi penjimatan kos dan penambahan
produktiviti. Dalam konteks ini, teknopreneur adalah kebiasaannya merupakan golongan yang mesra IoT mempunyai kelebihan untuk secara pantas memperkukuhkan strategi
perniagaan semasa. Elemen ketiga ialah syarikat terdorong untuk menjadi lebih inovatif menggunakan pendekatan inovasi ekonomi. Pendekatan inovasi berasaskan kejuruteraan balikan membolehkan syarikat teknoprenuer menawarkan teknologi yang mudah dengan kos rendah dalam membantu menyelesaikan sesuatu masalah dalam keadaan geografi terbatas dan kemudahan yang terhad.
Sebagai contoh teknologi misel balikan (reverse micelle) dijangka dapat membantu menyediakan pembersih tangan yang mesra alam dan tidak memerlukan kandungan alkohol yang tinggi.
Contohnya, para penyelidik University College London dan para jurutera Mercedes Formula 1 telah berjaya menghasilkan ventilator mini yang boleh digunakan untuk pesakit Covid-19
yang memerlukan bantuan pernafasan berasaskan teknologi enjin kereta, dan berjaya membantu menyelesaikan masalah kekurangan ventilator di hospital dan pusat kesihatan.
Syarikat yang dapat menyesuaikan diri kepada perubahan-perubahan yang berlaku di dunia ini akan menjadi lebih berdaya maju. Kebanyakan syarikat teknopreuner adalah mesra-teknologi dan mereka tidak mengambil masa yang lama untuk mempelajari suatu yang baru.
Syarikat yang menggunakan teknologi terkini, yang berkemampuan berkomunikasi dengan baik dengan para pelanggan, yang cakna mengenai alam sekitar, yang melayani pekerja dengan baik dan pengurusan yang berkepimpinan akan terkehadapan dan lebih berjaya. Seperti yang dinyatakan oleh Harvard Business School bahawa Covid 19 bukanlah one-off
challenge yang harus dihadapi oleh golongan usahawan. Entreprenur perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua skala krisis yang melanda. Namun, tempoh ini memberi
pengajaran yang amat besar kepada semua usahawan. Apa yang dialami sekarang boleh menjadi pengalaman yang amat berharga bagi syarikat membuat perancangan yang lebih rapi dan tuntas. Semua usahawan perlu bersedia melalui fasa perubahan dunia yang memberi efek besar kepada perniagaan. Usahawan teknopreneur akan menjadi pemimpin untuk dunia yang lebih baik.
Oleh: Profesor Madya Dr. Siti Hamidah binti Mohd. Setapar
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi
Malaysia-Japan International Institute of Technology,
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)