Gambar hiasan

KETERUJAAN menyambut kedatangan 2020 segera pudar kerana datangnya bersama Covid-19. Sehingga artikel ini ditulis, lebih 1.6 juta penduduk di dunia dijangkiti wabak yang mengoncang dunia ini dan telah mengorbankan lebih 95,000 nyawa. Seluruh dunia telah mengenakan perintah kawalan
pergerakan dalam usaha mengekang penularan wabak ini. Kawalan pergerakan seluruh dunia telah memberi kesan kepada sistem pengajaran dan pembelajaran seluruh dunia. UNESCO melaporkan lebih 1.5 billion pelajar dari 188 negara atau 89% daripada populasi pelajar dunia telah terkesan dengan penutupan sementara sekolah dan institusi pengajian tinggi seluruh dunia. Di Malaysia, lebih kurang lapan juta pelajar pra sekolah hingga pengajian tinggi terlibat dengan kawalan pergerakan dan tidak dapat menghadirkan diri secara fizikal ke tempat pengajian mereka.

Sekatan atau kawalan pergerakan seluruh dunia jelas sekali memberi impak kepada pengajaran dan pembelajaran dan tentunya akan menjejas sistem penilaian dan pentaksiran yang dijadualkan. UNESCO juga meramalkan impak jangka pendek adalah kehilangan masa hadir secara fizikal dan kesan jangka panjang kepada kohort yang menduduki peperiksaan penting bagi
menentukan karier dan haluan hidup pelajar. Jadual penilaian dan
pentaksiran dalaman atau luaran terjejas dan tidak dapat  dijadualkan semula ekoran ketidakpastian bila wabak akan reda mahupun berakhir. Mahu tidak mahu pengajaran dan pembelajaran perlu diteruskan. Atas rasa tanggungjawab ramai pengajar mencari jalan penyelesaian mengikut kemampuan dan sumber yang tersedia serta kemudahan yang tersedia dan tercapai oleh pelajar. Covid-19 merupakan ujian kepada
Revolusi Industri 4.0 yang menapak dalam pengajaran dan pembelajaran.

Keupayaan kemahiran Abad 21 pengajar dan pelajar diuji. Covid 19 telah memaksa semua pihak berusaha menjadi kreatif bagi memastikan gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran diminimumkan. Dalam ketidaktentuan ini ramai menggunakan kaedah Panic-gogy (Panic + pedagogy) yang tidak sahaja menggunakan platform rasmi pengajaran atas talian universiti tetapi menggunakan melalui perantara seperti Facebook, Twitter, email, whatsapp group. Ini bagi memastikan pengajaran dicapai oleh pelajar yang tidak dapat dipastikan dimanakah lokasi mereka. Konsep Belajar Dari Rumah (Home Schooling) yang dahulunya agak asing kini menjadi popular. Kaedah ini dilihat oleh Simon dan Hans Henrik sebagai pengalaman yang menarik malah disebut sebagai langkah penting untuk memastikan kelangsungan pembelajaran negara.

Langkah untuk memastikan kelangsungan pembelajaran pada masa kini sebenarnya menguji kesediaan kita memasuki dan membudayakan konsep pembestarian pendidikan. Konsep pembestarian pendidikan dikaitkan dengan menyediakan kerangka asas peningkatan kualiti pengajaran dan
pembelajaran serta mengayakan hasil pembelajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Ia juga boleh dikaitkan dengan pembelajaran maya. Pembelajaran maya adalah pengalaman pembelajaran yang diperkayakan melalui penggunaan komputer dan/atau
internet dan lazimnya dijalankan atas talian. Pembelajaran atas talian bergantung kepada kesediaan dan kecekapan talian internet. Ia sering dilabelkan sebagai e-learning merupakan salah satu versi pembelajaran jarak jauh berbeza dengan pembelajaran dalam kelas. Ada juga yang menyediakan bilik darjah maya iaitu persekitaran pembelajaran atas talian yang membolehkan interaksi antara pengajar dan pelajar yang mengambil
bahagian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Pelbagai panduan diberikan bagi membantu pelaksanaan pembelajaran atas talian. Banyak pihak menawarkan kursus Celik digital agar semua dapat memafaatkan ICT dalam memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran dimasa wabak Covid 19 ini. Pencarian maklumat tentang perlaksanaan pengajaran
secara maya memerlukan kemahiran penyelidikan yang begitu mudah dikuasai pada masa kini. Sedar atau tidak, bencana dan wabak membuka peluang yang lebih luas dalam semua hal termasuk pengajaran dan pembelajaran.

Walaupun pengajaran dan pembelajaran maya telah lama diperkatakan dan dipraktikkan oleh banyak universiti didunia bagi program pengajian, ia hangat diperkatakan semula masa kini bersama Covid 19. Siapa pun tidak dapat meramalkan bila Covid 19 akan berakhir dan kita dapat meneruskan kehidupan seperti sediakala. Ketidaktentuan ini telah mencetuskan pelbagai
usaha untuk memanfaatkan ICT bagi meneruskan kehidupan. Covid 19 telah memaksa komuniti ilmu dunia mengerak inisiatif untuk kelangsungan pembelajaran dengan mengadakan pelbagai panduan pengajaran dan pembelajaran atas talian. Ketersediaan perisian memudahcarakan pengendalian pengajaran dan pembelajaran atas talian seperti Zoom, Webinar dan Google Classroom membolehkan semua meneroka dan mencuba apa kaedah sesuai buat pengajaran dan pembelajaran pada masa kini.

Jika pembelajaran atas talian ini lebih terkenal di peringkat pengajian tinggi, nampaknya di peringkat sekolah menengah dan rendah juga mengikut rentak yang sama. Diseluruh dunia, pengajar menggunakan pelbagai perisian yang menyediakan panggilan video dengan pelajarnya bagi memastikan
pengajaran masih berlangsung ketika wabak merebak. Kesan positif sekatan kawalan ini, pengajar dan pelajar berlumba untuk mempelajari dan memahami cara untuk mencapai bahan pengajaran dan menyampaikan pengajaran. Di Malaysia ramai pengajar ternyata sudah mahir dan tidak kekok lagi untuk meneruskan pengajaran atas talian. Apa yang lebih
membanggakan, pembelajaran sekolah menengah dan rendah terus berlangsung mengikut keupayaan dan ketersediaan kemudahan komunikasi masing-masing.

Kebanyakan universiti di dunia mempunyai sistem pengajaran atas talian (e-learning) namun ia dibangunkan tanpa mengambilkira ketidaktentuan seperti yang berlaku masa kini. Situasi sekarang sebenarnya memberi peluang kepada universiti untuk menilai keberkesanan sistem tersebut, seterusnya menjalankan penambahbaikkan perlu. Kebanyakan universiti di Malaysia mempunyai platform e-learning.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) contohnya, mempunyai Platform e-learning yang diwujudkan beberapa tahun yang lalu dan ia digunakan menyokong pembelajaran yang disampaikan dalam kelas. Platform ini lebih dimanfaatkan pada masa Covid 19
dan walaupun platform e-learning ini tersedia, pensyarah diberi pilihan untuk mengendalikan pengajarandalam talian menggunakan beberapa perisian yang dirasakan sesuai dan mudah digunakan serta mempertingkatkan keberkesanan penyampaian bahan pengajaran. Jika pembelajaran atas talian boleh digunakan untuk pengajian sesuatu program, tidak nampak sebab kenapa ia tidak dapat dimanfaatkan untuk pengajaran terutamanya untuk menangani ketidaktentuan masa pelajar akan kembali ke sekolah, kolej atau universiti. Pun begitu, pengajaran dan pembelajaran atas talian juga tidak sunyi daripada cabaran. Isu capaian internet adalah yang paling sering diutarakan. Jika semua pihak bekerjasama, contohnya pelayaran media sosial tidak dibuat pada waktu pejabat bagi memberi laluan kepada pelajar dan mereka yang bekerja.

Ini tentu dapat mengurangkan kesesakan akses internet yang mungkin akan atau telah dialami sekarang ini. Langkah panic-gogy perlu dilaksanakan bagi memastikan capaian bahan
pengajaran terutamanya dikawasan yang capaian internetnya terhad atau tiada. Bagi menangani isu ketidakcapaian disebabkan oleh tiada akses Internet, langkah yang diambil dengan mengadakan semula televisyen pendidikan bagi pembelajaran dan pengajaran sekolah di  Saluran TV Okey adalah suatu yang bijak. Penyampaian bahan pengajaran dalam siaran television seumpama ini dijalankan di beberapa negara seperti Argentina,
Costa Rica, China, Iran dan Mexico dan Rwanda yang turut sama dicengkam wabak Covid 19. Di kawasan pedalaman di negara lain, guru bersiaran di radio menjalankan kelas mereka. Kita menyedari ada juga pelajar yang tiada akses internet mahupun siaran television. Penyampaian bahan dalam bentuk bahan bercetak dibuat. Portugal, contohnya pihak berkuasa
bekerjasama dengan perkhidmatan pos bagi menyampaikan bahan pengajaran yang dicetak kepada pelajar. Ini merupakan usaha akhir bagi memastikan tiada siapa pun yang tercicir dalam pembelajaran tatkala berperang dengan wabak ini.

Nampaknya langkah yang dijalankan di Malaysia konsisten dengan apa yang diamalkan oleh negara lain sebagaimana yang di kongsikan oleh Seksyen Pendidikan, UNESCO. Banyak sesi pembelajaran diteruskan secara atas talian malah penilaian dan pentaksiran dalaman terus berlangsung. Warga pendidik samada guru, pengajar mahupun pensyarah begitu responsif dalam
memastikan kelangsungan pendidikan negara dan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi selaras dengan sasaran pengajaran dan pembelajaran Abad ke 21. Bercambahnya usaha membestarikan pengajaran dan pembelajaran, tentunya menemukan kita dengan pelbagai masalah yang sama ada kita dapat atau tidak dapat menduga. Inilah peluang untuk semua
mengenalpasti apakah kelebihan dan kekurangan sistem pengajaran dan pembelajaran tatkala penyampaian secara normal tidak dapat dipraktikkan.

Dan ini tentu dapat menjawab adakah kerangka asas pengajaran dan pembelajaran semua peringkat mampu berfungsi dalam keadaan ini. Cabaran timbul dan akan timbul dalam kesemua usaha terutamanya wujudnya komen nakal sesetengah pihak dalam hal ini yang tidak perlu dihirau. Keupayaan semua pihak yang terbabit dalam pengajaran dan pembelajaran menangani cabaran ini akan menjadikan kita lebih matang bertindak mendepani ujian besar ini. Tanpa kita sedari Covid 19 dilihat
memacu pengajaran dan pembelajaran di Malaysia kehadapan dan satu situasi yang tidak siapa pernah fikirkan ia akan berlaku. Apa yang lebih penting usaha dan inisiatif untuk memastikan kelangsungan pengajaran dan pembelajaran ini membantu membestarikan pengajaran dan pembelajaran di negara kita.

Oleh: Prof Madya Dr Aminah Md Yusof, Pensyarah Kanan
Sekolah Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan
Universiti Teknologi Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast