Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka menghadapi satu lagi minggu yang mencabar berikutan penurunan harga minyak dan sentimen global yang tidak menentu.

Ketua Strategi Pemasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata, kesemua faktor ini akan memberi kesan jangka pendek ke atas ringgit untuk berlegar pada 4.36 hingga 4.39 berbanding dolar US.

Pasaran minggu ini juga sedang menunggu pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk Mac yang akan dikeluarkan pada hari Rabu akan datang.

“IHP ini tidak sepatutnya mempunyai implikasi polisi serta-merta kerana ia lebih rendah dan pasaran akan terus berkurangan (mungkin) dengan pemotongan 100 kadar mata asas, yang turut akan menjejaskan ringgit untuk jangka pendek,” katanya kepada Bernama.

Penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan meramalkan IHP akan mencerminkan penyusutan 0.2 peratus pada tahun, berikutan kejatuhan harga petrol yang seiring dengan penanda aras minyak global.

“Harga minyak dijangka sukar untuk stabil disebabkan risiko permintaan akan kekal condong kepada kelemahan, dengan permintaan global diramalkan mencecah tahap terendah dalam 30 tahun.

“Bagaimanapun, jika lebih banyak ekonomi utama merancang untuk membuka semula, ini akan membantu mengukuhkan harga dalam Mei, disokong pula oleh pemotongan bekalan OPEC+, yang akan memberikan sandaran kepada ringgit,” katanya.

Rabu lepas, Canselor Jerman Angela Merkel berkata negara tersebut secara bertahap akan melonggarkan peraturan jarak sosial dengan kedai-kedai seluas 8,600 kaki persegi, kedai buku, kedai basikal serta pengedar kereta akan dibuka pada Isnin depan.

Keesokan harinya, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan rancangan awal untuk memulihkan ekonomi negara melalui tiga fasa pembukaan semula, meningkatkan ringgit ke wilayah positif sebanyak 4.3650 berbanding dollar US pada Jumaat selepas empat hari menanggung kerugian.

Berita-berita positif ini telah mengimbangi laporan dari China, yang mana keluaran dalam negara kasar menguncup sebanyak 6.8 peratus pada suku pertama 2020, prestasi terburuk sejak 1992.

“Untuk minggu depan, dolar US dijangka terus menerima sokongan di atas purata pergerakan 50 hari yang sekarang ini berada pada paras 4.2747 manakala pasangan mata wang itu mungkin menerima rintangan yang lebih kuat jika ia memasuki paras 4.38-4.40.

Dolar US naik 1.4 peratus dalam minggu ini berbanding ringgit, selepas kejatuhan harga minyak dan unjuran kegawatan ekonomi dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa memberi kesan negatif ke atas ringgit.

IMF meramalkan dunia akan berhadapan dengan kemelesetan ekonomi paling buruk sejak era ‘Great Depression’ berikutan COVID-19 dengan ekonomi global menguncup sebanyak 3.0 peratus tahun ini.

Keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) untuk mengurangkan pengeluaran sebanyak hampir 10 juta tong sehari (bdp) dalam minggu ini juga gagal merangsang pasaran di tengah-tengah kebimbangan permintaan global.

Dari asas Jumaat ke Jumaat, prestasi mata wang tempatan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang

Ia jauh lebih rendah berbanding dolar US pada paras 4.3650/3750 daripada 4.3050/3150 yang dicatatkan dalam minggu sebelumnya.

Ringgit juga melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.0621/0702 daripada 3.0417/0498 dan kekuatannya merosot berbanding yen Jepun kepada 4.0465/0562 daripada 3.9696/9799.

Ia menurun berbanding pound British kepada 5.4200/4342 daripada 5.3709/3851 dan jatuh berbanding euro kepada 4.7216/7338 daripada 4.7114/7236. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast